BERNAMA

Johor Bahru: Seorang pemandu lori ditahan kerana menghalang anggota polis menjalankan tugas di Kilometer 10, Jalan Johor Baharu-Kota Tinggi berhampiran kawasan Majidee, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata lelaki berumur 33 tahun bersama tiga kelindannya sebelum itu ditahan kerana didapati menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

"Ketika ditahan anggota unit peronda polis kira-kira 9.20 pagi, pemandu lori tanpa muatan itu mengeluarkan kata-kata kesat dan mencabar anggota polis berkenaan supaya menyamannya kerana menggunakan telefon bimbit," katanya di sini, hari ini.

Sulaiman berkata, lelaki berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang anggota polis menjalankan tugas manakala tiga kelindannya yang berumur 30-an ditahan hanya bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, pemandu berasal dari Kampung Sri Jaya, Tampoi, di sini, tidak memiliki rekod jenayah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Ogos 2016 @ 8:15 PM