PERUNDING pemberontak komunis,  Agcaoili (kanan) ketika bercakap kepada pemberita di Manila, semalam.
PERUNDING pemberontak komunis, Agcaoili (kanan) ketika bercakap kepada pemberita di Manila, semalam.
Agensi

Manila: Pemberontak komunis Filipina berkata, rundingan damai yang sudah sekian lama terhenti mungkin boleh disambung semula dengan kerajaan bakal Presiden Rodrigo Duterte Julai ini.

Kumpulan itu juga berkata, mereka akan menuntut supaya kehadiran tentera Amerika Syarikat di negara itu ditamatkan.

Bercakap pada satu sidang akhbar di Manila, perunding kumpulan terbabit, Fidel Agcaoili berkata, tuntutan itu ‘tidak boleh dirunding.’

Menurutnya, wakil Duterte dan pemberontak sudah melakukan persiapan untuk berunding di Eropah bulan ini bagi membincangkan usaha menyambung semula rundingan damai.

Duterte yang akan mengambil alih jawatan presiden secara rasmi pada 30 Jun depan sebelum ini menawarkan dua jawatan Kabinet kepada pemberontak itu.

“Asas prinsip kami ialah kehormatan diri dan kedaulatan kebangsaan. Kita tidak boleh biarkan kehadiran pangkalan tentera Amerika Syarikat di negara ini,” kata Agcaoili.

Pemberontak, katanya, juga akan berunding untuk menamatkan dua perjanjian keselamatan Filipina dengan Amerika Syarikat.

Pemberontak komunis di Filipina mula melancarkan peperangan untuk mewujudkan sebuah negara Marxis di negara itu sejak 1969.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Jun 2016 @ 9:18 AM