Sarah Zulkifli


Petaling Jaya: Suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan memiliki tiga bom buatan sendiri di rumah di Damansara Perdana, dua bulan lalu.

Tertuduh Ng Woon Chieh, 38, dan isterinya, Chow How Luen, 40, yang kedua-duanya peniaga 'online' membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Azhanis Teh Azman Teh.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama memiliki senjata api, iaitu tiga butir bom buatan sendiri tanpa kebenaran yang sah di sisi undang-undang di rumah di Metropolitan Square, Jalan PJU 8/1, Damansara Perdana, 6 pagi pada 17 April lalu.

Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebatan maksimim enam kali, jika disabit kesalahan.

Mahkamah tidak membenarkan pasangan itu diikat jamin dan menetapkan 1 Julai ini sebagai sebutan semula kes.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shafiq Hasim, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Naizatul Zamrina Karizaman.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Jun 2016 @ 12:04 PM