PETUGAS penyelamat berbincang sebelum meneruskan gerakan mencari kanak-kanak yang hilang itu.
PETUGAS penyelamat berbincang sebelum meneruskan gerakan mencari kanak-kanak yang hilang itu.
Agensi

Tokyo: Usaha mencari budak lelaki berusia tujuh tahun selepas ibu bapanya meninggalkan dia di kawasan hutan yang didiami beruang terbukti sukar kerana kekurangan petunjuk.

Ketika gerakan mencari di Hokkaido, pulau utama di utara Jepun itu masuk hari keempat, dua pemburu semalam menyertai lebih 100 anggota penyelamat, polis dan pegawai bandar tempatan selepas mereka menemui najis beruang yang masih baru di kawasan terbabit, sekali gus meningkatkan kebimbangan mengenai keselamatan kanak-kanak itu.

Bagaimanapun, mereka gagal menemui sebarang petunjuk mengenai kedudukan Yamato Tanooka yang hilang sejak Sabtu lalu selepas ditinggalkan ibu bapanya di jalan menyusuri gunung sebagai hukuman kerana nakal.

Ibu bapanya pada mulanya memberitahu polis, anak mereka hilang ketika bersama untuk menungut sayur hutan.

Bagaimanapun, mereka akhirnya mengaku marah dan cuba menghukumnya selepas dia melontar batu ke arah orang ramai dan kereta.

Kanak-kanak berkenaan berseorangan di hutan itu, tanpa makanan atau air.

Polis berkata, mereka menimbang untuk mendakwa ibu bapa Tanooka atas tuduhan cuai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Jun 2016 @ 10:02 AM