CERMIN kenderaan mangsa yang dipecahkan suspek. FOTO Mohd Adam Arinin
CERMIN kenderaan mangsa yang dipecahkan suspek. FOTO Mohd Adam Arinin
Ardyhansah Amat


Kota Kinabalu: Dua individu tidak dikenali melarikan wang tunai kira-kira RM100,000 milik wanita warga emas di lampu isyarat berhampiran Plaza Wawasan di sini, semalam.

Dalam kejadian 10 pagi itu, dua suspek lelaki yang menaiki motosikal memecahkan cermin pintu penumpang sebelah pemandu (mangsa) sebelum melarikan sampul surat putih berisi wang tunai berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisiner M Chandra berkata, sebelum kejadian, mangsa yang berusia 60 tahun itu mengeluarkan wang tunai berkenaan di bank di Api Api Centre.

"Mangsa kemudian menyimpan wang itu di dalam sampul surat putih sebelum menaiki kenderaan.

"Bagaimanapun, mangsa menghentikan kenderaan di lampu isyarat dan suspek dikatakan memecahkan cermin kenderaan serta melarikan wang mangsa," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mei 2016 @ 6:33 PM