Oleh Siti Zarinah Sahib

Anggun menggayakan kurung mo­den rona kuning susu dengan perincian renda pada dada dan ­tangan cukup menyerlahkan keanggunan gadis comel ini. Rambut didandan kemas, terselit sekuntum bunga putih sebagai lambang kesucian cinta dan saksi dua hati sejoli yang bakal diikat pada majlis pertunangan nanti.

Semuanya serba sempurna dari hujung rambut hingga kaki. Malah jika sekali pandang, wajah keanak-anakan masih jelas kelihatan walaupun jurusolek memilih warna yang agak matang pada hari pertuna­ngannya.

Di sebalik keanggunan busana rekaan Yann Rift Wedding Kuala Lumpur, apa yang menyerlahkan keang­gunan wanita adalah teknik solekan untuk majlis pertunangan yang ternyata berbeza pada hari biasa juga untuk majlis makan malam.

Menurut jurusolek profesional Yan Riff, solekan untuk pertunangan lebih mudah berbanding majlis pernikahan atau persa­ndingan kerana pemilihan ­koleksi warna alat solek lebih ringkas dan sederhana. Namun, ia tetap menyerlahkan keserian gadis yang akan melalui kemanisan alam pertunangan.

"Apa yang penting adalah solekan mata termasuk ­pemilihan warna pembayang mata yang lebih semula jadi. Warna alam seperti coklat cerah dan merah jambu cair dipilih bagi memperlihatkan gadis lebih manis dan anggun terutama saat cincin disarungkan ke jari manisnya.

"Saat ini pastinya semua mata tertumpu pada pasa­ngan menjadikan semuanya perlu sempurna baik dari hujung rambut hingga kaki. Pastikan solekan memperlihatkan wajah yang segar dan lebih berseri berbanding biasa," katanya.

Celak dan maskara ­jangan dilupakan kerana kedua-duanya gabungan erat bagi menjadikan mata tampil besar dan menyerlah. Sapuan celak pada bahagian ekor mata menambah keindahannya manakala maskara berfungsi untuk memanjang, melebat dan melentikkan bulu mata.

"Celak berbeza untuk majlis pernikahan kerana ia sedikit tebal manakala untuk pertunangan mamadai hanya secalit garisan pada bahagian atas kelopak mata dan juga bawah mata. Pastikan sapuan tidak comot," katanya.

Selain mata, pewarna pipi juga perlu lebih menyerlah. Untuk itu, pemilihan rona merah jambu mampu memperlihatkan sisi si gadis yang ayu dan menawan. Apabila tersenyum, pastinya warna pemerah pipi akan menampakkan tulang pipi yang sedikit menonjol sekali gus menjadikan pasangan tampil menawan. Akhir sekali, akhiri dengan gincu merah jambu serta pengilat bibir menjadikan si dia tampil berseri.

Menyudahkan keanggunan, gaya dandanan rambut juga harus sesuai dengan majlis pertunangan. Bagi yang tidak mahu memakai sebarang perhiasan, ­boleh meletakkan sekuntum bunga pada rambut. Rambut disisir ke tepi dan dibuat sanggul bagi menyerlahkan keindahan wajah usai disolek. Bagi pasangan kecil molek, gaya dandanan rambut sanggul akan menjadikan anda bertambah langsing dan tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Disember 2014 @ 5:00 AM