Shafien (kiri) menunjukkan hasil rampasan daripada empat lelaki yang terbabit dalam dua kes jenayah berasingan. FOTO Na'imah Mohamed
Shafien (kiri) menunjukkan hasil rampasan daripada empat lelaki yang terbabit dalam dua kes jenayah berasingan. FOTO Na'imah Mohamed
Na'imah Mohamed


Shah Alam: Cubaan seorang lelaki melarikan diri daripada ditahan gagal apabila kereta Proton Iswara dipandunya terbabas selepas dikejar polis peronda di Seksyen 16, di sini, Ahad lalu.

Dalam kejadian jam 11.40 malam itu, lelaki berusia 25 tahun itu terbabit dalam sembilan kes curi dan ragut di kawasan hospital swasta di sekitar Shah Alam dan Nilai.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, pemeriksaan terhadap kereta suspek menemui beberapa kad pengenalan milik individu lain bersama barangan disyaki hasil curi.

"Siasatan awal mendapati, suspek menumpukan kegiatannya di kawasan hospital swasta dengan memecahkan cermin kereta dan mencuri barangan milik mangsa.

"Suspek bergerak berseorangan dan mula aktif sejak Januari lalu dan anggaran hasil rampasan bernilai lebih RM15,000," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Shafien berkata, tiga lelaki ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kes samun hotel bajet dan juga kedai serbaneka 24 jam sekitar daerah itu sejak awal tahun ini.

"Tiga lelaki berkenaan berusia antara 24 hingga 26 tahun ditahan pada 20 dan 21 April lalu selepas pengecaman melalui rakaman kamera litar tertutup di hotel bajet terbabit.

"Semua yang ditahan direman sehingga 12 Mei ini untuk disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan (KK)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mei 2016 @ 1:52 PM