SEORANG anggota NU menyunting program televisyen untuk disebarkan menerusi Internet bagi menangani dakyah Daish.
SEORANG anggota NU menyunting program televisyen untuk disebarkan menerusi Internet bagi menangani dakyah Daish.
AFP

Jakarta: Kumpulan Islam terbesar di Indonesia, Nahdlatul Ulama (NU) menubuhkan skuad tentera siber bagi mempromosikan ajaran Islam sederhana sekali gus menentang dakyah militan Daish di Internet.

Bersenjatakan komputer riba dan telefon pintar, kira-kira 500 ahli NU menyebarkan mesej di Internet bagi mematahkan hujah yang sering digunakan kumpulan Daish.

“Kami tidak akan benarkan Islam dirampas oleh orang bodoh yang mempunyai perasaan benci di dalam hatinya,” kata seorang anggota NU, Syafi’ Ali di laman Twitternya.

Tentera siber ini cuba mematahkan operasi Internet canggih Daish yang berjaya mempengaruhi ribuan orang Islam dari seluruh dunia untuk menyertai perjuangan mereka.

Propaganda melalui Internet dipercayai memainkan peranan penting yang menarik kira-kira 500 rakyat Indonesia ke Asia Barat bagi menyertai Daish.

NU turut cuba menguasai dunia siber dengan membuat laman web bagi mempromosikan pandangan sederhana, satu aplikasi Adroid dan televisyen Internet yang menyiarkan ceramah daripada ulama kumpulan itu.

Usaha itu dilakukan ketika NU dijangka mempromosikan ajaran Islam sederhana mereka ke peringkat dunia dalam satu pertemuan dengan pemimpin agama seluruh dunia hari ini. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mei 2016 @ 8:08 AM