DATUK Johan Abdullah. FOTO Aizuddin Saad
DATUK Johan Abdullah. FOTO Aizuddin Saad
Rizanizam Abdul Hamid


Kuala Lumpur: Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan Datuk Johan Abdullah sebagai Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif yang baharu berkuatkuasa 1 Julai ini.

Pengerusi TH, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, jawatan itu sebelum ini disandang Tan Sri Ismee Ismail.

"Serahan tugas oleh Ismee selaras dengan Pelan Pengantian TH yang telah rancang sejak Januari lalu.

"Kepimpinan dan visi Ismee telah banyak menyumbang kepada kejayaan TH sehingga memperoleh pengiktirafan dan penghormatan di peringkat antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Abdul Azeez, pihaknya berbangga dan berterima kasih dengan kepimpinan Ismee sepanjang tempoh lebih 10 tahun lalu.

"Sepanjang tempoh itu, TH telah berjaya melalui transformasi yang telah meningkatkan prestasi kewangan ketahap yang membanggakan.

"Ahli Lembaga Pengarah TH telah bersetuju agar Johan menggalas tugas sebagai Ketua Pegawai Eksekutif bermula 16 Mei ini," katanya.

Johan menyertai TH pada 15 Januari 2015 sebagai Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH.

Sebelum itu, beliau adalah Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif, BIMB Holdings Berhad.

Berkelulusan Sarjana Pengurusan Perniagaan (Kewangan) dari Universiti Morehead State, Amerika Syarikat (AS), beliau memegang Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan (Kewangan) dari Universiti Eastern Michigan, AS selain berpengalaman luas dalam sektor kewangan korporat, pasaran modal dan kewangan Islam.

Di bawah kepimpinan Ismee, TH telah berjaya mempelbagaikan portfolio pelaburan serta aliran pendapatannya apabila buat kali pertama, pendapatan TH mencecah lebih RM4 bilion manakala keuntungan selepas zakat dan cukai melebihi RM3 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 April 2016 @ 12:49 PM