Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Bekas pemain bola sepak kebangsaan Khalid Ali menyelar kenyataan angkuh Pengarah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) Lim Teong Kim yang enggan bekerjasama dengan kelab FC Bari 1908 seandainya dipelawa bergabung bersama kelab di liga Serie B itu.

Menurut Khalid, meskipun sistem PPBN dilihat agak berjaya terutama menerusi kejayaan anak didik Teong Kim menakluk pentas Eropah apabila menjuarai Piala Iber di Portugal tahun lalu, beliau mahu bekas jurulatih remaja Bayern Munich itu lebih berfikiran positif demi kebaikan bola sepak negara.

“Amalan beliau (Lim Teong Kim) dengan PPBN mungkin mengikut acuan Jerman memandangkan sudah lama berada di Bayern Muncih sebelum ini.

“Tapi kita perlu akui sistem bola sepak di Itali juga bagus dan ia terbukti apabila negara itu pernah menjuarai Piala Dunia sebanyak empat kali (1934, 1938, 1982, 2006) serta Piala Eropah sekali (1968).

“Beliau tidak perlu bersikap seperti itu, sebaliknya harus terbuka dan positif untuk menerima ataupun bekerjasama dengan mana-mana kelab atau akademi demi kebaikan bola sepak negara yang sudah menampakkan perubahan terutama aspek pembangunan,” katanya kepada Arena Metro, semalam.

Ujarnya lagi, jika Teong Kim tidak mengiktiraf sistem bola sepak di Itali dengan Bari kini bersaing di divisyen dua, kenapa pula beliau bersetuju menjalinkan kerjasama dengan kelab di England Queen Park Rangers (QPR) yang juga sekadar beraksi di liga kedua negara itu.

“Tak silap saya, QPR juga bermain di saingan kedua liga dengan kini menduduki tangga pertengahan berbanding Bari yang kini menghuni tangga ketiga Serie B. Malah kelab itu berpeluang untuk beraksi di Serie A musim depan berdasarkan kedudukan ketika ini.

“Jadi mengapa beliau bersikap negatif terhadap liga Itali. Saya harap Teong Kim lebih positif sekiranya ada tawaran kerjasama kelak,” katanya.

Sebagai rekod, pada September lalu Teong Kim dilantik sebagai Pengarah Teknikal di Asia untuk QPR yang dimiliki oleh taikun penerbangan negara, Tan Sri Tony Fernandes.

Menerusi pelantikan itu, kedua-dua pihak bersetuju menjalinkan kerjasama strategik bersama QPR bagi program pembangunan jangka panjang bersama yang lebih komprehensif.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 April 2016 @ 7:46 AM