Sultan Muhammad V diiringi Dr Mafauzy  (dua kanan) meluangkan masa melawat Ahmad  yang menjalani rawatan susulan selepas pembedahan kecil membuang darah beku di kepala di Wad T2 (Eksekutif), HUSM Kubang Kerian, Kota Bharu. FOTO Zaman Huri Isa

Siti Rohana Idris

Kota Bharu: Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berkenan melawat Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob yang menjalani rawatan susulan pendarahan di kepala di HUSM Kubang Kerian, di sini hari ini.

Baginda meluangkan masa selama 20 minit untuk bertanya khabar dan menziarahi Ahmad yang ditempatkan di Wad T2 (Eksekutif).

Turut mengiringi baginda Pengarah Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Dr Mafauzy Mohamed dan semua Exco kerajaan negeri.

Dalam pada itu, Ahmad ketika ditemui berkata, kesihatannya semakin baik selepas menjalani pembedahan kecil pada Khamis lalu bagi membuang darah beku di kepala.

"Terima kasih kepada doktor dan semua kakitangan HUSM yang menyediakan perkhidmatan terbaik.

"Saya juga terharu apabila Sultan berkenan mencemar duli melawat saya di sini. Turut berterima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri yang melawat pada Jumaat lalu," katanya.

Ahmad dimasukkan ke HUSM sejak Rabu selepas mengadu sakit kepala.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 April 2016 @ 4:16 PM