IBU, Halimah Mohd Tahir, 80 menunjukkan potret arwah anaknya, Abdul Hisham Abdul Hamid, 52 yang meninggal dunia di New Haven, Amerika Syarikat. FOTO Iqmal Haqim Rosman
IBU, Halimah Mohd Tahir, 80 menunjukkan potret arwah anaknya, Abdul Hisham Abdul Hamid, 52 yang meninggal dunia di New Haven, Amerika Syarikat. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Raja Noraina Raja Rahim


Seremban: Naluri seorang ibu seperti akan ada kematian tepat apabila menerima berita anak lelaki yang sudah terpisah 32 tahun meninggal dunia, di New Haven, Amerika Syarikat.

Abdul Hisham Abdul Hamid, 52, ditemui rakan serumah sudah tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia di kediamannya di negara berkenaan, kelmarin.

Halimah Mohd Tahir, 80, berkata, anak lelaki bongsu daripada empat beradik itu dihantar ke negara berkenaan untuk menyambung pengajian dalam jurusan Pengurusan Perniagaan di Universiti Ohio pada 1984 dan sejak itu arwah tidak pulang ke Malaysia dan berhubung dengannya.

Bagaimanapun, katanya, dia menerima berita kematian anak lelakinya itu daripada seorang bekas rakan sekelasnya yang datang ke rumah kira-kira jam 12 tengah hari semalam.

"Semalam mak cik secara tiba-tiba rasa sedih dan menangis teresak-esak teringatkan Abdul Hisham. Mak cik segera minta cucu ambilkan gambar arwah untuk melepaskan rindu.

"Saya tidak menyangka ia petanda arwah akan meninggal dunia. Sebagai ibu pastinya saya sedih dan terkilan kerana tidak dapat menatap wajahnya buat kali terakhir," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bemban, Mambau, di sini, malam tadi.

Apabila ditanya kenapa arwah tidak pulang, Halimah berkata, dia tidak tahu malah mereka sekeluarga tidak pernah berselisih faham dan tersinggung perasaan sebelum ini.

Sementara itu, kakak arwah, Hamidah, 54, berkata, dia dan ibu berhasrat untuk menatap wajah arwah buat kali terakhir sama ada jenazah dibawa pulang ke tanah air atau mereka ke negara berkenaan.

"Kami sekeluarga akan berbincang apa pilihan terbaik dan berharap ada pihak tertentu atau kerajaan dapat membantu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 April 2016 @ 8:41 AM