SITI Nadzirah (duduk, depan) dan pendaki yang lain ketika menuju ke Laban Rata.
SITI Nadzirah (duduk, depan) dan pendaki yang lain ketika menuju ke Laban Rata.
AZRULKHAN (tengah) bersama kru Tag di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebelum berlepas ke Kota Kinabalu.
AZRULKHAN (tengah) bersama kru Tag di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebelum berlepas ke Kota Kinabalu.
BERSEDIA untuk berlepas dari Sayat-Sayat.
BERSEDIA untuk berlepas dari Sayat-Sayat.
AZRULKHAN bersama Siti Nadzirah (kanan) dan seorang rakan mereka selepas turun dari Gunung Kinabalu.
AZRULKHAN bersama Siti Nadzirah (kanan) dan seorang rakan mereka selepas turun dari Gunung Kinabalu.
KENANGAN yang sukar dilupakan Siti Nadzirah.
KENANGAN yang sukar dilupakan Siti Nadzirah.
ANTARA kenangan di Kinabalu.
ANTARA kenangan di Kinabalu.
myMetro

Misi menawan puncak Gunung Kinabalu kali ini lebih istimewa buat diri Siti Nadzirah Mohamad Hata, 26, meskipun dia pernah menjayakan misi sama pada Mac tahun lalu iaitu hanya beberapa bulan sebelum bencana gempa bumi mengubah landskap kawasan tarikan pelancong itu.

Hasil latihan kecergasan dan komited terhadap misi yang diatur bersama rakan, sekali lagi Siti Nadzirah berjaya menawan puncak gunung tertinggi di Asia Tenggara yang berdiri pada ketinggian 4,095 meter dari aras laut pada Januari lalu.

Kali ini, dia dan rakan menggunakan laluan baru iaitu Ranau bermula dari Laban Rata dan jaraknya agak jauh dari laluan sebelumnya. Papan tanda yang berada di kawasan puncak juga kelihatan berbeza berbanding tahun lalu.

Menurut pekerja swasta itu, tarikan Gunung Kinabalu begitu kuat bagaikan magnet yang menarik dirinya untuk menyertai misi pendakian berkenaan.

“Panorama imej matahari terbit dan terbenam di puncak itu menjadi satu kemestian kepada setiap pendaki,” katanya.

Akuinya yang sememangnya sukakan aktiviti mencabar, apa yang menjadikan misi mendaki kali ini lebih bermakna apabila ia turut disertai rakannya, Azrulkhan Hasrullah, 24, seorang insan istimewa (OKU) yang lebih mesra dipanggil Adam.

“Melalui misi Cabaran Pendakian Gunung Kinabalu yang dianjurkan Team Anak Gunung (Tag) kali ini, kami turut berpeluang menyertai aktiviti paragliding dari puncak Gunung Kinabalu,” katanya.

Misi diketuai Muhammad Ariff Baharum selaku Pengarah Projek Tag dan diiringi tiga krew serta 26 pendaki lain.

Azrulkhan yang juga pelajar Universiti Islam Antarabangsa (UIA) membuktikan kecacatan anggota bukan penghalang untuk dirinya juga mampu menawan Gunung Kinabalu.

Dia yang lumpuh kaki hanya bergantung pada kekuatan tangan untuk mendaki bermula dari Pondok Timpohon, di kaki gunung hingga ke Sayat-Sayat pada ketinggian 3,700 meter.

Katanya, kekurangan diri tidak pernah menjadi alasan untuknya berusaha mencapai apa yang dihajati.

“Tiada apa yang mustahil, seandainya keinginan disertai dengan usaha dan doa. Saya bertekad untuk kembali mendaki Gunung Kinabalu dengan misi untuk menawan puncaknya pada masa depan.

“Hanya faktor masa yang menyukarkan usaha untuk tiba di puncak berikutan sukar bergerak dan sukar menepati masa ditetapkan, selain suhu dingin yang mencengkam tubuh,” katanya.

Sementara itu, bagi misi paragliding dari Puncak Gunung Kinabalu pula, ia dijayakan Mohd Anwar Mohd Ridzuan, 31, yang mempu­nyai pengalaman selama lima tahun sebagai ‘paraglider’.

Menurut Mohd Anwar, ia suatu pengalaman yang sangat mengujakan dan sukar digambarkan dengan kata-kata.

“’Terbang’ dari ketinggian 13,000 kaki dari Gunung Kinabalu umpama impian menjadi kenyataan. Ia bagaikan suatu khayalan apabila dapat menikmati keindahan Puncak Borneo dari udara melalui Banjaran Croker dan terbang di atas awan tebal.

“Pengalaman ini pastinya akan menjadi kenangan paling manis sepanjang saya bergiat dalam sukan paragliding ini,” katanya.

Mohd Anwar turut membawa penumpang untuk terbang bersama dan ia mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mendarat di pekan Kundasang.

Katanya, di sebalik keterujaan untuk ‘terbang’, pelbagai aspek keselamatan perlu diutamakan antaranya terpaksa mengangkut peralatan dan payung terjun seberat 25 kilogram untuk naik ke pondok Sayat-Sayat.

“Selain itu, keadaan batu dan struktur permukaan yang tidak rata di Gunung Kinabalu juga cabaran besar yang perlu diatasi. Ini bagi mengelakkan risiko payung terjun terkoyak dan tali terputus terkena batu tajam.

“Begitu juga faktor cuaca dan angin amat penting. Angin dari atas gunung sangat kencang dan saya perlu bergelut untuk menstabilkan kedudukan tali payung terjun dan tempat duduk penumpang supaya dapat mengawal payung terjun dengan baik.

“Namun pada masa sama, saya berhasrat menjadikan aktiviti paragliding ini sebagai tarikan terbaru di Gunung Kinabalu dan ia masih lagi dalam tahap perbincangan bersama komuniti paragliding,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 April 2016 @ 12:18 PM