Norhayati Nordin


Demi fokus dan komitmennya pada watak Nurin Arissa untuk drama bersiri Tundukkan Playboy Itu, Uqasha Senrose, 24, sanggup menolak tawaran berlakon drama lain.

Menyedari peluang tidak datang selalu membuatkan dia sentiasa berfikiran terbuka terhadap cabaran harus dihadapinya. Dia juga sedar sukar baginya melepaskan setiap peluang yang datang dengan mudah sebelum mencuba.

“Saya masih baru dalam lakonan, jadi apabila mendapat peluang dan kepercayaan melakonkan watak utama untuk slot popular seperti Akasia, saya berbesar hati.

“Memikirkan komitmen dan fokus tidak berbelah bahagi membuatkan saya lebih selesa menolak tawaran berlakon drama lain,” katanya.

Uqasha atau Nik Zaris Uqasha Senrose berkata, keputusan dibuat buakn bersikap memilih, sebaliknya dia hanya terfikir mahu memberikan yang terbaik dalam lakonan dipersembahkan.

“Ditambah pula babak saya sebagai Nurin sangat banyak. Jadi, jika saya terima tawaran berlakon drama lain, dibimbangi menimbulkan masalah pihak produksi.

“Dalam soal ini, saya tidak mahu tamak. Oleh itu, saya lebih selesa memberi tumpuan dan fokus terhadap satu-satu drama yang dibintangi.

“Apabila proses penggambaran tamat, baru saya sedia pertimbangkan tawaran lain. Secara tidak langsung, mudah untuk saya mengatur jadual kerja,” katanya.

Dalam drama 30 episod itu, Uqasha melakonkan karakter utama sebagai Nurin Arissa, gadis yang diletakkan harapan padanya untuk mengubah lelaki kasanova, Harraz Naufal.

Mampukah Nurin ‘menjinakkan’ Harraz menjadi pencinta setia? Semuanya akan terjawab hanya dalam drama Tundukkan Playboy Itu yang kini disiarkan menerusi slot Akasia TV3, setiap Isnin hingga Khamis, jam 6.58 petang.

Bersua dengan Uqasha pada majlis makan malam eksklusif meraikan pemenang media sosial bertuah baru-baru ini, Uqasha akui teruja dengan sambutan penonton terhadap drama itu.

Dia tidak sangka lakonannya diterima baik peminat apabila drama Tundukkan Playboy Itu menerima maklum balas positif. Drama arahan Keoi Khalid itu turut dibintangi Hafidz Roshdi.

Ia mengisahkan Harraz Naufal (Hafidz), jejaka kaya yang suka bermain cinta dan membuang masa dengan hiburan. Perangainya sukar difahami sama ada sebagai majikan mahupun seorang anak. Ada kala dia manja, kala lain panas baran.

Tan Sri Mukhriz (Ridzuan Hashim) dan Puan Sri Rosell (Maria Farida) yakin sudah tiba masanya untuk seseorang yang istimewa hadir dalam hidup Harraz bagi menundukkan sikap playboy anak lelaki mereka.

Tan Sri Mukhriz bertemu Nurin Arissa (Uqasha), anak kawan lamanya, Suffian (Mahmud Ali Bashah) dan dirasakannya mempunyai sesuatu yang istimewa. Nurin yang baru tamat pengajian sarjana dalam bidang Seni Bina ditawarkan bekerja di syarikat Harraz.

Menurut Uqasha, penggambaran drama itu baru saja tamat beberapa hari lalu dan dia kini bersedia untuk projek baru.

Katanya, dia akan sibuk dengan latihan teater Ombak Rindu yang akan dipentaskan di Istana Budaya (IB) pada 22 April ini.

Tidak mungkin korbankan tudung

Pemilihan Uqasha membintangi teater Ombak Rindu mencetus spekulasi kononnya disebabkan permintaan penaja yang juga kalangan VIP.

Tidak cukup dengan itu, ada juga dakwaan mengatakan dia sanggup melucut tudung demi tuntutan watak Izzah dalam teater adaptasi novel itu.

Ini kerana penerbitnya dari awal mengatakan inginkan pelakon tidak bertudung untuk watak utama itu kerana tidak mahu timbul kontroversi jika mengambil pelakon bertudung.

Bagaimanapun, Uqasha menafikan perkara itu kerana dia tidak sanggup mengorbankan tudung semata-mata kerana tuntutan watak.

“Saya tidak pernah memberi persetujuan untuk membuka hijab demi watak Izzah. Bahkan saya sama sekali tidak tahu bagaimana dakwaan ini boleh timbul.

“Selain itu, saya juga ingin menjelaskan tawaran membintangi teater Ombak Rindu diterima juga tiada kaitan dengan pihak penaja yang dikatakan dalam kalangan orang kenamaan,” katanya.

Menurut Uqasha, dengan peluang diperoleh, dia hanya berharap dapat mengetengahkan bakat lakonannya ke tahap mencabar.

Uqasha yang juga kakak pelakon Nelydia Senrose, teruja untuk beraksi dalam teater Ombak Rindu kerana mendapat kepercayaan melakonkan karakter utama.

“Jika dalam filem pada 2011 karakter Izzah dilakonkan dengan baik aktres Maya Karin, saya akui ia cabaran berat buat saya kali ini.

“Di sebalik perasaan teruja, dalam hati juga terselit kebimbangan terhadap penerimaan penonton. Saya bimbang akan wujud perbandingan di antara lakonan dipersembahkan saya dan Maya.

“Terus terang, saya akan melakonkan watak Izzah dengan cara sendiri dan berharap penonton menerimanya. Saya akan cuba memberi yang terbaik,” katanya, seraya menambah watak Izzah lakonannya dalam teater berbeza dengan yang pernah dilakonkan Maya di layar perak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 April 2016 @ 5:04 AM