Rumah mangsa yang musnah dalam kebakaran, tengah hari tadi. FOTO ihsan bomba
Rumah mangsa yang musnah dalam kebakaran, tengah hari tadi. FOTO ihsan bomba
Rosliza Mohamed

Kota Bharu: Tiga cedera termasuk dua wanita dalam kebakaran rumah di Kampung Badang, Jalan PCB, di sini, 1.20 tengah hari tadi.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu Mohd Rozi Ismail berkata, mangsa wanita berusia 53 tahun cedera di bahagian bahu dan perut, manakala seorang lagi wanita berusia 32 tahun terkena renjatan elektrik.

"Mangsa lelaki berusia 40-an terseliuh bahagian paha kanan akibat tergelincir ketika cuba memadamkan kebakaran.

“Semua mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk rawatan lanjut," katanya di sini, hari ini.

Menurut Mohd Rozi, pihaknya mendapat panggilan kecemasan pada 1.25 petang dan 18 anggota ke lokasi kejadian.

Katanya, punca dan kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mac 2016 @ 6:45 PM