PEGAWAI penguatkuasa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menahan tujuh  pengawal keselamatan yang disyaki menggunkan kad pengenalan palsu. FOTO ihsan JPN
PEGAWAI penguatkuasa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menahan tujuh pengawal keselamatan yang disyaki menggunkan kad pengenalan palsu. FOTO ihsan JPN
Hayati Ibrahim


Putrajaya: Tujuh pengawal keselamatan ditahan dalam Ops ID di premis di Cyberjaya malam tadi kerana disyaki menggunakan kad pengenalan palsu sebagai pengenalan diri.

Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Seri Sulaiman Keling berkata, bertindak atas maklumat, operasi bermula 10.30 malam yang diketuai Ketua Unit Risikan dan Operasi JPN Putrajaya, Mohd Syafiq Jamaluddin bersama 10 pegawai penguatkuasa JPN menyerbu Menara 1 dan 2 Suruhanjaya Komunikasi dan

Multimedia (SKMM) di Cyberjaya.

"Pemeriksaan terhadap tujuh pengawal keselamatan yang sedang bertugas di premis berkenaan mendapati semuanya disyaki menggunakan kad pengenalan palsu sebagai pengenalan diri dan bekerja di premis itu.

"Ketika serbuan dijalankan, beberapa pengawal keselamatan cuba melarikan diri apabila menyedari kehadiran pegawai penguatkuasa JPN di premis itu, namun semua mereka berjaya ditahan.

"Siasatan awal ke atas pengawal keselamatan itu mendapati mereka mendakwa berasal dari Sabah dan anak jati negeri itu,"katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sulaiman berkata, siasatan ke atas semua kad pengenalan yang digunakan mendapati semuanya adalah palsu dan mendakwa mendapatkannya melalui sindiket di Sandakan, Sabah dengan bayaran RM500 untuk setiap kad.

Katanya, siasatan lanjut mendapati enam mengaku berasal dari Basilan, Filipina dan seorang mengaku berasal dari Sulawesi Selatan, Indonesia yang berumur di antara 30 tahun hingga 40 tahun.

Semua pengawal keselamatan terbabit ditahan mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) yang boleh membawa hukuman penjara tidak lebih tiga 3 tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mac 2016 @ 2:18 PM