Sepang: Pelayar negara, Khairulnizam Afendy (gambar) berjaya mengharungi detik sukar sebelum menempah slot beraksi di Olimpik Rio Ogos ini.

Berdepan rintangan, antaranya kapal yang rosak dan diserang demam panas sebelum kejohanan bermula tidak mematahkan semangatnya untuk berjuang memburu slot ke Olimpik di Kejohanan Perahu Layar Persekutuan Pelayaran Asia (ASAF) yang berlangsung di Abu Dhabi.

“Ini bukan kejayaan saya seorang, sebaliknya usaha rakan pasukan sejak hari pertama yang sentiasa memberi sokongan kepada saya untuk terus berjuang.

“Saya terhutang budi kepada rakan pasukan, Asri Azman yang banyak membantu dan meminjamkan kapalnya untuk membolehkan saya menyertai pertandingan ini,” katanya yang berjaya menjadi atlet ke-10 negara layak ke Brazil.

Beraksi dalam kategori Laser Standard Lelaki, kejayaan di Abu Dhabi itu menyaksikan Khairulnizam bakal beraksi buat kali kedua di temasya Olimpik selepas London empat tahun lalu.

“Kejayaan kali kedua ini amat bermakna. Saya berharap dapat memperbaiki pencapaian empat tahun lalu apabila beraksi di Rio nanti.

“Di Rio saya mensasarkan kelompok 30 terbaik dan jika boleh mara ke pusingan akhir kerana untuk mendapatkan pingat adalah sukar berikutan kekangan masa,” katanya.

Sukan pelayaran menjadi acara kelima menyertai kontinjen Malaysia ke Olimpik rio selepas terjun, memanah, menembak dan berbasikal.

Sementara itu bagi Nur Syazrin Muhamad Latif kejayaannya menempah slot ke Olimpik satu kejayaan mengejutkan dan menyerahkan sepenuhnya kepada Persatuan Pelayaran Malaysia untuk memutuskan siapa yang akan beraksi di Olimpik kelak.

Katanya, dia bersedia menerima apa saja keputusan kerana merasakan semua atlet negara adalah yang terbaik dan yakin dengan keputusan persatuan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mac 2016 @ 10:02 AM