Kalidevi Mogan Kumarappa

Kuala Lumpur: Tujuh wanita warga asing yang dijadikan mangsa eksploitasi seks di pusat hiburan di Jalan Imbi, di sini, diselamatkan polis awal pagi ini.

Dalam operasi diketuai Asisten Superintendan Zahiruddin Baharom dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPK Kuala Lumpur Bahagian D7 turut menahan pengurus pusat hiburan dan ibu ayam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Ahmad berkata, ketika anggotanya membuat penyamaran di pusat hiburan itu, wanita pelayan pelanggan menawarkan perkhidmatan seks.

"Serbuan kemudian dilakukan sebelum menyelamatkan tujuh wanita warga China dan Vietnam dalam dua bilik berlainan. Semua mangsa itu diselamatkan mengikut Seksyen 44 ATIPSOM 2007, " katanya.

Beliau berkata, dua pengunjung pusat hiburan yang positif dadah jenis `methamphetamine’ turut ditahan dan lebih seratus pengunjung diperiksa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mac 2016 @ 10:51 AM