LELAKI didakwa pengedar dadah disebat dengan kabel elektrik.
LELAKI didakwa pengedar dadah disebat dengan kabel elektrik.

Moscow: Sekumpulan militan Russia melaksanakan hukuman ala kumpulan pengganas Daish selepas menyeksa dan memukul seorang pengedar dadah yang kini dipercayai sudah mati.

‘Hukuman’ itu berlaku di bandar Communar di Donetsk Oblast, selatan Ukraine yang kini dikuasai pemberontak pro-Russia.

Satu rakaman video yang menunjukkan seorang lelaki diseksa dengan kejam di bandar itu menjadi viral di Internet.

Video itu menunjukkan seorang lelaki merayu supaya tidak dibunuh ketika diikat pada satu papan tanda kayu dan disebat beberapa kali dengan kabel elektrik.

Belakang badan lelaki itu penuh dengan kesan lebam dan berdarah, menunjukkan dia diseksa dalam tempoh yang lama sebelum video itu dirakam.

Hukuman sebat itu dilakukan oleh militan yang dikenali sebagai Olkhon yang datang dari bandar Novosibirsk, tengah Russia bagi membantu pemberontak pro-Russia.

“Tolonglah berhenti. Saya akan cakap apa yang kamu mahu. Saya akan hubungi seorang lagi pengedar dadah dan dia akan datang dengan membawa dadah,” rayu lelaki berkenaan.

Dia kemudian ditanya adakah dia mengaku menagih dadah tetapi lelaki itu menjawab tidak.

Bagaimanapun, beberapa militan mendesak mengapa dia mempunyai nombor telefon pengedar dadah sekiranya dia bukannya penagih dadah, dan lelaki itu terus disebat.

Individu yang merakamkan video penyeksaan itu kedengaran berkata: “Kami tidak memerlukan mahkamah dan hukuman. Ini yang kami perlukan.”

Lelaki yang diseksa itu kemudian menjerit “Saya bersumpah, saya sudah memberitahu semuanya.

“Tuhan, saya tidak tahan lagi, saya mahu hidup. Tolong, tolong.”

Lelaki yang diseksa dengan kejam itu dilaporkan hilang dan kini dipercayai sudah mati.

Video itu dimuat naik di Internet oleh komuniti rasmi pemberontak pro-Russia di laman sosial Russia, VKontakte. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Februari 2016 @ 8:54 AM