MATERIAL yang digunakan untuk membuat pipa.
MATERIAL yang digunakan untuk membuat pipa.
BERMULA sekadar hobi, ia kemudian bertukar menjadi karier hebat Ooi.
BERMULA sekadar hobi, ia kemudian bertukar menjadi karier hebat Ooi.
ANTARA pipa yang dihasilkan.
ANTARA pipa yang dihasilkan.

Segalanya bermula sekadar hobi sekitar 2004, ia kemudian bertukar menjadi karier meyakinkan apabila Johnsson Ooi Soon Leong nekad mengubah hobinya itu, tiga tahun kemudian.

Minat mendalam itu membawa Ooi terbang ke Itali pada 2007 untuk menyertai kursus jangka pendek mengenai pembuatan produk pipa atau paip tembakau di Pusat Bertram Safferling.

Ooi kini turut berkemahiran membuat pipa jenis klasik dan ‘free hand.’

Dalam menghasilkan pipa yang berkualiti, beliau hanya menggunakan kayu jenis briar. Kayu ini diimport dan banyak terdapat di kawasan Mediterranean.

Sementara pipa yang dihasilkan pula dalam bentuk kecil, sederhana dan besar dan kebanyakannya bergantung kepada saiz kayu yang diperoleh dari Tramin, Itali.

Malah, Ooi berkata pipa saiz kecil dan sederhana mendapat permintaan tinggi bagi pasaran Asia.

Selain itu, beliau turut dibantu isterinya Josephine Wah serta dua lagi pekerjanya hingga mampu menghasilkan lebih 30 unit pipa sebulan.

Menariknya, ia dihasilkan di Prima Tanjung Business Center, Pulau Pinang. Hingga kini, lebih 100 rekaan dihasilkan Ooi. Apatah lagi beliau sebelum ini pernah berkecimpung dalam bidang pembinaan.

Ditanya berkenaan keunikan pipa tembakau yang dihasilkan, beliau memberi jaminan produknya dibuat menggunakan kayu yang diproses hingga kering bagi mengelakkan rasa pedar pada lidah.

Pengalaman dan kemahiran yang dipelajari daripada mentornya di Itali membantu Ooi meningkatkan kemahiran membuat lubang udara yang tepat di dalam batang pipa.

Langkah bernaung di bawah Kraftangan Malaysia pada 2009 pula memberi peluang kepada Ooi menyertai promosi peringkat domestik anjuran Kraftangan Malaysia dan misi perdagangan antarabangsa.

Melalui penyertaan itu produk berjenama JohnssonOSL berjaya dipromosikan di Amerika Syarikat, Dubai dan China.

Percaya kepada kebolehan dan mempunyai semangat yang kuat mendorong Ooi melangkah lebih jauh.

Anda yang berminat atau mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai produk kraf ini boleh berkunjung ke Hari Kraf Kebangsaan yang bakal diadakan dari 24 Februari hingga 6 Mac depan di Kompleks Kraf Kuala Lumpur di Jalan Conlay.

Fakta menarik mengenai pipa

1. Bent Dublin, Poker, Billiad Bent, Free Hand dan Pocket Pipe antara reka bentuk yang popular.

2. Menggunakan bahan dinamakan karnuba bagi tujuan kemasan. Bahan ini bersifat tahan api.

3. Bahagian mangkuk pipa yang tinggi memudahkan tembakau terbakar. Bagi individu yang inginkan pembakaran tembakau yang perlahan, mangkuk pipa bersaiz besar dan rendah menjadi pilihan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Februari 2016 @ 5:00 AM