Kuala Lumpur: Cemburu berikutan bekas kekasih yang juga pelajar perempuan sebuah sekolah di Cheras mempunyai teman lelaki baru menyebabkan seorang lelaki bertindak melarikan remaja berusia 16 tahun itu ketika mangsa keluar dari sekolah, semalam.

Dua lelaki berusia 22 dan 24 tahun ditahan itu ditahan polis selepas kira-kira lapan jam melarikan mangsa dengan kereta kira-kira jam 2 petang.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata suspek ditahan di sebuah bank di Taman Maluri di sini, pada jam 7.50 malam hari yang sama, bersama mangsa.

"Kita berjaya mengesan kereta suspek hasil risikan serta bantuan ibu mangsa.

"Mangsa mengalami kecederaan di sebelah kanan mata dan suspek turut mengugut membunuh mangsa," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mohamad Roy berkata siasatan awal mendapati mangsa adalah bekas teman wanita kepada salah seorang suspek.

"Suspek mengenali mangsa sejak 2014 dan mereka berpisah Disember tahun lalu, kerana halangan keluarga.

"Mereka juga beberapa kali melakukan hubungan intim sepanjang perkenalan itu," katanya.

Menurutnya suspek bertindak demikian kerana cemburu berikutan mangsa mempunyai teman lelaki baru.

Mohamad Roy berkata suspek direman sehingga Sabtu ini untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 363 Kanun Keseksaan serta Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2016 @ 8:57 PM