Adam Salleh

Yang lazim dipotret imej wartawan melalui filem dan drama, seorang wartawan itu begitu ‘kepoh’ ke hulu ke hilir mahu cungkil gosip artis. Dalam satu drama tempatan, seorang wartawan diherdik lalu disembur dengan kata-kata cacian kerana sibuk mahu tahu gosip pasangan dalam drama itu. Segelintir pengkarya melihat wartawan itu hanyalah di bidang hiburan saja.

Berbeza dalam Abang Long Fadil 2 (ALF2), watak wartawan penyiaran lakonan Tania Hudson (Yana) dan Achey Bocey (Ali/jurugambar) sama pentingnya dengan watak utama Fadil (Zizan Razak). Sekalipun dalam filem Idola ada watak wartawan penyiaran lakonan Normala Shamsuddin (Farah), dalam ALF2 watak wartawan jenayah itu lebih menyerlah.

Serba ringkas ALF2 berkisar rentetan hidup Fadil yang terjerumus ke dalam dunia mafia, didalangi Taji Samprit (A Galak) dan anaknya Wak Doyok (Wak Doyok). Timbul insiden yang menyebabkan Fadil disalah anggap oleh Inspektor Wahab (Syamsul Yusof) dan Inspektor Shuib (Shuip Sepah) dalam menjejaki pembunuh upahan yang dikenali sebagai Tiger.

Pengakhir cerita apabila Ali mengaku pelbagai insiden jenayah itu adalah agenda setting rekaannya semata-mata mahu tarik perhatian Yana agak menarik untuk dikongsi di sini. Kita maklum tugasan wartawan itu terikat dengan pelbagai etika. Namun harus diingat, survival wartawan akhbar ‘nyamuk’ jauh lebih mencabar berbanding wartawan akhbar arus perdana.

Hal ini mengingatkan penulis sewaktu bekerja di pelbagai akhbar nyamuk pada era 80-an dulu, antaranya Mingguan Famili, Mingguan Kota, Warisan Nasional dan Mingguan Wanita. Setiap wartawan akhbar nyamuk ini sama ada Bacaria, Warta Perdana, Pos Kota, Mingguan Perdana dan pelbagai lagi memang licik mencari berita sensasi untuk bersaing sesama kami.

Agak keterlalu dikatakan di sini, ada antara berita direka sendiri lalu usahlah hairan bila terbaca berita ketika itu UFO Mendarat Di Banting atau Seks Dalam Bas Ekspres. Untuk mendapatkan berita sensasi begitu mudah saja, cari kawasan semak lalu dibakar ikut bulatan seolah-olah kesan UFO mendarat, namun banyak juga berita berdasarkan fakta yang benar.

ALF2 lebih bergendre aksi komedi, tetapi naluri fantasi dengan terkait Transformers dan The Incredble Hulk menyerlahkan ala kebudak-budakan Syafiq Yusof selaku pengarah. Untuk sasaran penonton kanak-kanak, strategi Syafiq itu menjadi cuma buat penonton era ‘old school’ menonton aksi komedi seperti Polis Evo lebih mudah hadam dalam minda mereka.

Sungguhpun begitu, asas pembikinan filem (film making) ALF2 itu tidak lari kerana sarat dengan aksi, sudut penggambaran menepati shoot movie dan sesekali terselit dialog serta adegan lucu membuatkan penonton terbahak dan unsur suspen untuk mengetahui siapakah pembunuh upahan sebenar yang memakai topeng, di sinilah bijaknya Syafiq mengelirukan penonton.

Rata-rata menjangkakan Inspektor Wahab yang memakai topeng itu gara-gara beberapa adegan sudah di establish inspektor itu berpaling tadah. Parodi KL Gangster bila mana Fadil terpandangkan Inspektor Wahab lalu menyebut ‘Shark’ hanya spontan, tetapi cukup untuk menggeletek penonton. Melainkan mereka yang tidak menonton KL Gangster terpingga-pinggalah.

Kehadiran Wak Doyok dalam ALF2 tetap menghiburkan sekalipun ekspresi wajahnya tidak dapat diterjemah sebaik mungkin dalam babak tertentu. Tidak terkecuali ada juga netizen mengkritik lakonan Wak Doyok yang dikata kaku, namun sebagai ikon fesyen buat julung kali muncul dilayar lebar bolehlah dikatakan Syafiq berjaya melahirkan seorang lagi aktor baru.

Menghayati garapan terbaru Syafiq ini jelas sebagai sutradara era siber ini kelebihan teknologi terkini melalui CGI (Imej Janaan Komputer) dieksploitasi hampir 40 peratus dalam ALF2. Malang pula teknologi juga boleh ‘makan tuan’ pada Syafiq dan Datuk Yusof Haslam sendiri berikutan timbulnya insiden seorang individu tidak bertanggungjawab memuat naik sedutan 30 saat filem berkenaan di laman sosial Instagramnya sehingga produser Skop Production itu terpaksa membuat laporan di Balai Polis Taman Melawati, Selangor, baru-baru ini.

Dalam filem watak antagonis dan protagonis adalah cerminan kehidupan. Jika semua manusia dan jin itu dijadikan mulia belaka, rasanya tidak perlulah diwujudkan neraka. Agak menarik untuk menilai sisi moral dalam ALF2 bagi menajamkan lagi minda dan kreativiti sutradara muda lain termasuklah Syafiq agar tidak berkarya semborono atau ikut ‘sedap gigi’.

Ending ALF2, Fadil membawa Yana membuka kontena yang mengandungi jutaan wang milik Taji Samprit (A Galak). Melalui ‘wang segera’ dikebas itu, Fadil kembali bertemu Yusof Haslam untuk projek usahasama menerbitkan filem ALF vs Transformers. Wang segera itu juga digunakan untuk bermegah-megah dengan pasangan selain membeli kereta mewah.

Berpaling filem Baby Driver, watak Baby (Ansel Elgort) seorang anak muda berkemahiran tinggi dalam memandu terbabit dalam pelbagai siri jenayah rompakan. Sekalipun tugasannya hanya memandu, tetapi imbuhan hasil rompakan turut diterimanya. Wang itu dibawa balik lalu disorok di lantai rumah Joseph (CJ Jones) lelaki kulit hitam yang bisu juga bapak angkat Baby.

Menariknya, wang itu tidak pernah digunakan Baby sehinggalah tercetus insiden terdesak diburu polis, Baby kalut menggeluarkan wang itu lalu diserah pada Joseph, tetapi melalui bahasa isyarat Joseph menolak wang itu kerana wang itu haram, begitulah moral positif dicernakan Edger Wright selaku pengarah dalam karyanya betapa yang haram itu tetap haram.

Natijahhya, ALF2 ini boleh digarap menjadi sekuel ala Fast And Furious yang awalnya dipotret bak penjenayah kini lebih bekerjasama dengan pihak berkuasa, asalkan Syafiq tidak jemu menonton pelbagai filem terbaik di nusantara ini dan antarabangsa bagi menajamkan kreativitinya untuk mencipta identitinya tersendiri menjadi pengarah paling disegani nanti.

Penulis Pengarang Rencana Metro Ahad

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Ogos 2017 @ 9:41 AM