ABDUL Irwan dan Nozeaini menyusun lokan dan pelbagai jenis siput di gerai mereka.
ABDUL Irwan dan Nozeaini menyusun lokan dan pelbagai jenis siput di gerai mereka.
LOKAN yang dikutip di kawasan paya bakau.
LOKAN yang dikutip di kawasan paya bakau.
SIPUT hitam diletakkan dalam air semalaman untuk membuang kotoran dan pasir.
SIPUT hitam diletakkan dalam air semalaman untuk membuang kotoran dan pasir.
ISI siput enak dimakan.
ISI siput enak dimakan.
SIPUT hitam.
SIPUT hitam.
SIPUT timba batik.
SIPUT timba batik.
SIPUT belitung.
SIPUT belitung.
Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli


Dahulu siput hitam, siput belitung, siput timba batik dan lokan kurang mendapat perhatian.

Ini menyebabkan spesies berkenaan terbiar tanpa dimanfaatkan dan ada yang beranggapan ia tidak boleh dimakan kerana boleh menyebabkan sakit perut.

Namun, siapa sangka kecekalan sepasang suami isteri mengharungi kawasan paya bakau setiap hari mencari hidupan bercengkerang itu kini memberi pulangan lumayan.

Abdul Irwan Abdul Jalil, 36, dan isteri Nozeaini Mohamad, 33, dari Kampung Alur Tumang, Marang, Terengganu, mampu meraih pendapatan antara RM400 hingga RM500 sehari hasil jualan lokan dan pelbagai jenis siput di hadapan rumah mereka sejak empat bulan lalu.

Mereka turut dibantu dua anak, Hanafi, 14, dan Firdaus, 11, mencari siput di kawasan paya bakau di belakang rumah.

Abdul Irwan berkata, sebelum ini penduduk setempat dan orang ramai hanya mencari lokan untuk dijual dan dimakan manakala siput lain yang banyak di kawasan paya bakau di situ tidak diendahkan kerana menyangka ia tidak boleh dimakan.

“Rata-rata penduduk menyangka siput hitam, beliung, belitung dan timba batik tidak boleh dimakan kerana beracun dan menyebabkan sakit perut.

“Hal itu mendorong saya mencari dan menjualnya di samping menerangkan cara penyediaan dan memasaknya dengan betul.

“Pada peringkat permulaan, sambutan terhadap siput itu agak kurang kerana ia masih asing dalam kalangan penduduk, tetapi selepas sebulan menjualnya, ramai pelanggan yang datang membeli dan memberi maklum balas positif mengenai rasanya,” katanya ketika ditemui Harian Metro, baru-baru ini.

Menurutnya, sebelum ini, kebanyakan penduduk Terengganu tidak tahu cara penyediaan siput berkenaan menyebabkan mereka tidak menyedari keenakannya terutama siput hitam dan beliung.

“Saya berasal dari Sarawak dan sudah biasa mencari siput ini. Apabila menetap di Terengganu, saya memanfaatkan sumber siput di paya bakau belakang rumah untuk dijual.

“Selepas mengetahui cara memasak siput, orang ramai kerap datang ke gerai saya untuk membeli dan paling mendapat sambutan siput hitam kerana ia sedap selain mempunyai khasiat sebagai ubat penyakit gout.

“Pelanggan kami terdiri daripada penduduk setempat selain peminat siput dari Pahang, Kuala Lumpur, Johor dan Kelantan yang datang ke gerai semata-mata ingin membeli siput,” katanya.

Katanya, dia mula mencari siput sekitar jam 9 pagi hingga 12 tengah hari dan menyambung semula pada jam 2 hingga 6.30 petang.

“Masa mencari siput dan lokan bergantung kepada keadaan air pasang surut sungai dan biasanya kami berjaya memperolehi 60 hingga 70 kilogram (kg) siput dan lokan sehari,” katanya.

Sementara itu, Nozeaini berkata, dia dan suami menjual siput dan lokan mengikut harga pasaran semasa selain menetapkan harga berdasarkan kesukaran memperolehi dan mencari siput.

“Sebagai contoh, siput timba batik sukar dicari kerana berada di batang pokok pada waktu air pasang. Kami terpaksa memanjat pokok di dalam air dan mengutip satu persatu.

“Biasanya kami mencari siput timba pada waktu malam bergantung pada keadaan dan cuaca,” katanya

Menurutnya, lokan dan siput hitam dijual dengan harga RM5 sekilogram manakala siput beliung, belitung dan timba batik berharga RM20 sekilogram.

“Bagi siput yang sudah siap diproses, kami kenakan caj sebanyak RM2. Kami bercadang membuka gerai menjual pelbagai jenis hidangan berasaskan siput pada masa akan datang.

“Ia bagi memberi peluang kepada orang ramai sama ada membeli siput mentah atau yang sudah siap dimasak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Disember 2015 @ 10:48 AM