AMIRA mencium tangan suami selepas diijabkabulkan.
AMIRA mencium tangan suami selepas diijabkabulkan.
Oleh Adam Salleh


Selang tiga hari selepas bersanding terpaksa meninggalkan rumah tangga. Bagi pasangan muda mahu bergelora jiwa raga, namun itulah pengorbanan terpaksa dilalui pengantin baru, Amira Ashla Zainal, 27, dan Farhanudin Abdul Razak, 27, dek tugasan si isteri di awan biru.

Memulakan kerjaya dengan Malaysia Airlines (MAS) sejak 2011, Amira sukar menidakkan jauh di sudut hati terbit rasa terkilan kerana perlu ‘berpisah’ dengan suami walhal mereka baru lima hari bernikah, tetapi sebagai pekerja dia akur tugasannya menuntut komitmen jitu.

“Saya dapat cuti tiga hari saja, sebab itulah majlis kami diselesaikan dalam masa singkat iaitu bernikah pada Jumaat, bersanding di pihak perempuan keesokan­nya dan majlis di pihak lelaki pula pada Ahad dan kemudian pada Khamis saya terpaksa terbang.

“Walau dalam keadaan tergesa-gesa saya bersyukur kerana boleh di katakan keluarga di kedua-dua pihak dapat menghadirinya. Saya lebih terharu keluarga ibu saya (Wan Nur Azlela) dari Johor Bahru dan Singapura dapat memeriahkan majlis bersejarah kami ini,” katanya.

Majlis akan nikah Amira dan Farhan berlangsung di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz (Masjid Biru) di Shah Alam, baru-baru ini.

Amira berasal dari Shah Alam pemegang Ijazah Sarjana Muda Perbankan Islam UiTM mula berkenalan dengan Farhanudin (Farhan) ketika mereka menuntut di Kolej Polytech Mara Bangi sekitar 2007-2009. Bagaimanapun hubungan yang baru nak berputik apabila Amira melanjutkan pengajian di UiTM Shah Alam sementara Farhan ke Cardiff University, United Kingdom dalam jurusan Pentadbiran Perniagaan.

Menurut Farhan, hendak dikatakan mereka menyulam cinta ketika itu sukar juga kerana hubungan tidak ubah seperti teman tapi mesra.

“Cuma yang pasti setiap tahun jika ulang tahun Amira, saya akan ucapkan selamat ulang tahun padanya. Ini yang dinamakan jodoh, sekembalinya ke tanah air hubungan yang terlerai seketika itu kembali subur dan kami pula bertambah matang,” katanya.

Amira anak sulung empat beradik adalah cucu kepada seniman veteran tanah air Haji Arshad (Allahyarham), sementara Farhan anak pegawai tentera berasal dari Keramai Permai, Kuala Lumpur ini, anak keempat daripada lima beradik.

Sama usia berlainan bulan, Amira berzodiak Scorpio dan Farhan pula Aries. Mengusahakan perniagaan keluarga, Old Town White Coffee di Wangsa Walk, Farhan berkata dia dan Amira sudah merancang dua lokasi sebagai destinasi pilihan untuk berbulan madu.

“Saya tertarik dengan keindahan Cappadocia di Turki dan di Greece. Jika segalanya berjalan lancar dan diizinkan Tuhan, salah satu lokasi itu menjadi destinasi pilihan kami berbulan madum namun segalanya bergantung apakah Amira dapat cuti panjang atau tidak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Disember 2015 @ 3:01 AM