DUA ditahan disyaki terbabit dalam kejadian samun berkumpulan menggunakan senjata terhadap dua warga asing, kelmarin. FOTO Ihsan Polis
DUA ditahan disyaki terbabit dalam kejadian samun berkumpulan menggunakan senjata terhadap dua warga asing, kelmarin. FOTO Ihsan Polis
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Polis menahan dua lelaki selepas disyaki terbabit dalam kejadian samun berkumpulan menggunakan senjata terhadap dua warga asing, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.15 pagi itu, suspek turut menyamar polis bagi 'mengumpan' mangsa membuka pintu rumah sewa mereka di sini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, dua lelaki tempatan berusia 29 dan 30 tahun itu ditahan jam 11 malam semalam, manakala seorang lagi suspek masih bebas.

"Berdasarkan laporan, ketika dua mangsa yang juga tukang kebun sedang tidur di rumah mereka, pintu kediaman itu diketuk suspek yang memberitahu mereka polis.

"Mangsa membuka pintu dan mendapati tiga lelaki bersenjatakan parang, sebelum masuk ke dalam rumah dan memukul mangsa dan meninggalkan lokasi kira-kira 30 minit kemudian.

"Suspek dilaporkan membawa lari sebuah motosikal, tiga telefon bimbit, wang tunai RM400 dan geran motosikal yang membabitkan kerugian kira-kira RM6,300," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Raub berkata, susulan tangkapan itu, polis menemui semua barang rampasan termasuk dua parang yang dibuang ke dalam sungai berhampiran.

"Hasil siasatan awal, dua suspek mengaku terbabit dalam kejadian itu dan semakan mendapati mereka mempunyai rekod lampau jenayah serta dadah.

"Ujian saringan awal air kencing juga mendapati kedua-dua mereka positif methamphetamine. Mereka kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 23 Julai ini," katanya.

Menurut Raub, pihaknya giat mengesan seorang lagi suspek yang masih bebas iaitu seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun yang turut mempunyai rekod lampau jenayah dan dadah.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyan 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan menggunakan senjata dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar polis.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2024 @ 5:15 PM