GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Hasrat seorang wanita untuk bekerja sambilan berkubur selain terpaksa menanggung kerugian RM105,650 selepas diperdaya sindiket yang menawarkan pekerjaan tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, mangsa yang berusia 41 tahun membuat aduan diperdaya 'scammer' di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara semalam.

Beliau berkata, mangsa mendakwa menerima pautan WhatsApp daripada Lux Legacy yang menawarkan peluang pekerjaan atas talian pada 10 Julai lalu.

Menurutnya, malah mangsa juga dijanjikan komisen bagi setiap tugasan yang disiapkan.

Katanya, tawaran terbabit menjanjikan pulangan modal sebanyak 10 hingga 15 peratus daripada modal yang dilaburkan.

"Mangsa tertarik dengan komisen dijanjikan serta tugasan mudah yang ditawarkan iaitu mendaftar diri dan melakukan 10 transaksi ke dalam lima akaun berbeza bermula 11 hingga 13 Julai lalu.

"Secara keseluruhan mangsa melaburkan RM105,650 sebagai modal menerusi semua transaksi berkenaan," katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, mangsa menyedari ditipu apabila mendapati laman web syarikat yang menawarkan pekerjaan terbabit dan segala perbualan sebelum ini sudah disekat.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga 10 tahun dan boleh disebat atau denda.

"Siasatan juga akan menjurus sama ada mangsa terbabit dengan keldai akaun.

"Orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah percaya sebarang tawaran pelaburan atau pekerjaan atas talian yang menjanjikan kaedah mudah serta komisen tinggi.

"Gunakan perkhidmatan atas talian yang disediakan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) seperti Semakmule, CCID Scam Response Centre menerusi talian 03-26101559 atau 03-26101599 atau Facebook BSJK serta Pusat Response Scam Kebangsaan (NSRC) talian 997," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2024 @ 12:58 PM