AHLI keluarga dilihat sebak selepas mengetahui keputusan bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh, semalam. FOTO Bernama
AHLI keluarga dilihat sebak selepas mengetahui keputusan bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh, semalam. FOTO Bernama
Nurul Hidayah Bahaudin


Sungai Buloh: Ibu kepada Nur Farah Kartini Abdullah, 25, melakukan ujian DNA (asid deoksiribonukleik) di Hospital Kuala Kubu Bharu, hari ini.

Perkara itu dimaklumkan abang mangsa, Mohd Fariza Amir Abdullah, 28, yang dihubungi, hari ini.

Difahamkan, urusan menuntut jenazah akan dilakukan sebaik sahaja urusan pengambilan sampel DNA ibu mangsa di Hospital Kuala Kubu Bharu, selesai.

Mohd Fariza berkata, pihak keluarga mahu menyelesaikan dahulu urusan pengambilan sampel DNA ibu mereka sebelum menuntut jenazah mangsa.

"Saya tak pasti lagi jam berapa boleh datang ke Jabatan Perubatan Forensik (Hospital Sungai Buloh) untuk tuntut jenazah.

"Kami perlu selesaikan perkara ini dahulu (urusan pengambilan sampel DNA ibu) di Hospital Kuala Kubu Bharu sebelum tuntut jenazah", katanya.

Beliau turut memaklumkan jenazah Nur Farah Kartini akan dikebumikan di Pekan, Pahang, namun tidak berkongsi maklumat lanjut berhubung perkara itu.

"Saya akan kongsikan kepada media sebaik tiba di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh nanti," katanya.

Setakat jam 12.30 tengah hari, tiada kelibat ahli keluarga mahupun waris terdekat dilihat berada di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh.

Bagaimanapun, beberapa pengamal media yang 'berkampung' di perkarangan Jabatan Perubatan Forensik hospital berkenaan sejak jam 7 pagi tadi masih menunggu ketibaan ahli keluarga Nur Farah Kartini.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Nur Farah hilang sejak 10 Julai lalu selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan, ditemukan mati di kawasan tidak jauh dari Felda Gedangsa, Hulu Selangor.

Mayat Nur Farah Kartini ditemukan kira-kira 6 petang, kelmarin, dipercayai dibunuh individu yang dikenalinya.

Susulan itu, polis turut menahan seorang lelaki yang juga penjawat awam berusia 26 tahun bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Polis Perak kemudian mengesahkan suspek adalah seorang anggotanya berpangkat lans koperal yang bertugas di Balai Polis Slim River di Tanjung Malim dan sudah lima tahun berkhidmat.

Suspek kemudian direman tujuh hari sehingga 22 Julai ini untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2024 @ 12:43 PM