GAMBAR hiasan. FOTO AFP
GAMBAR hiasan. FOTO AFP
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) memaklumkan Ops Haji 2024 yang diterajui Polis Diraja Malaysia (PDRM) belum mengesan jemaah yang dikatakan gagal menunaikan haji disebabkan penggunaan visa pelancong.

Menterinya Datuk Seri Tiong King Sing berkata, hanya terdapat satu pasangan yang dikesan dengan bantuan Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah setelah anak mereka meminta bantuan kerajaan bagi membawa pulang kedua ibu bapanya.

"Motac sedang menjalankan siasatan dan sekiranya terbukti bersalah, Motac akan menggantung atau membatalkan lesen agensi pengendali umrah tersebut.

"Sementara jemaah haji yang lain tidak tampil untuk membuat aduan di

Motac, Lembaga Tabung Haji (TH) atau membuat laporan polis untuk memaklumkan agensi pengendali umrah yang terlibat," katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) mengenai tindakan susulan yang diambil kerajaan bagi memastikan isu 300 jemaah haji Malaysia yang gagal menunaikan ibadah haji, ekoran menggunakan visa pelancong baru-baru ini tidak berulang pada masa akan datang.

Pada Mei lalu, dilaporkan kira-kira 300 bakal jemaah haji yang berada di Makkah bingung selepas terpedaya dengan sebuah agensi menawarkan pakej murah menggunakan visa pelancong.

Seorang jurucakap yang dikenali sebagai Zhyema Zhyedee dilaporkan berkata, beliau dihubungi seorang rakan dari di Tanah Suci bagi mendapatkan bantuan selepas sedar diperdaya pihak agensi.

Menurutnya, agensi terbabit yang pada awalnya menjanjikan untuk memberi gelang haji masih gagal berbuat demikian sehingga hari ini.

Katanya, pihak agensi juga turut mengarahkan bakal haji agar tidak keluar dari hotel dikhuatiri ditahan pihak berkuasa Arab Saudi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2024 @ 10:14 AM