SEBANYAK 265 bot nelayan Vietnam melakukan pencerobohan di perairan Malaysia dari 2020 sehingga tahun lalu. FOTO Ihsan APMM
SEBANYAK 265 bot nelayan Vietnam melakukan pencerobohan di perairan Malaysia dari 2020 sehingga tahun lalu. FOTO Ihsan APMM
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Sebanyak 265 bot nelayan Vietnam melakukan pencerobohan di perairan Malaysia dari 2020 sehingga tahun lalu, kata Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 2,683 kru bot ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) atas kesalahan melakukan aktiviti penangkapan ikan yang tidak sah, tidak dilaporkan dan tidak dikawal selia (IUU).

Menurutnya, bagi Januari sehingga April tahun ini, 35 bot nelayan Vietnam dan 307 orang kru telah ditahan, menyamai jumlah setahun yang direkodkan pada 2023.

"Kerajaan kekal komited dengan mengambil langkah-langkah menghalang dan membanteras pencerobohan bot-bot nelayan asing, termasuk kapal-kapal penguatkuasaan asing berdasarkan undang-undang negara.

"Ini termasuklah (menggunakan) Akta Perikanan 1985, Akta Imigresen 1963 dan Kanun Keseksaan Malaysia (Akta 574), sekiranya berlaku kekerasan oleh nelayan asing ke atas penguat kuasa kita," katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Wan Hassan Mohd Ramli (PN-Dungun) mengenai keberhasilan kerjasama dengan Vietnam membaiki tatakelola dan penguatkuasaan negara mereka terhadap aktiviti nelayan negara itu.

Wan Hassan turut bertanyakan langkah memanfaatkan platform serantau seperti Kumpulan Kerja Sektoral Asean dalam Hal Perikanan (ASWGFi) bagi membangkitkan dan menyelesaikan isu pencerobohan nelayan Vietnam.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, Malaysia secara dasarnya tiada halangan bagi membantu Vietnam dalam memenuhi keperluan penambahbaikan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Eropah.

Katanya, negara ini juga sentiasa menggesa Vietnam mengambil langkah sewajarnya bagi menghentikan pencerobohan nelayannya di kawasan perairan Malaysia.

Beliau berkata, Malaysia turut menjalankan kerjasama dua hala di bawah konteks Memorandum Persefahaman Kerjasama Pertanian yang memberi ruang kepada kedua-dua pihak untuk berbincang berkenaan isu perikanan dan IUU.

"Dari aspek kerjasama serantau, ASWGFi telah menubuhkan Pasukan Petugas Khas IUU pada tahun 2019 untuk meningkatkan komunikasi dan perkongsian maklumat antara negara anggota Asean bagi menangani kegiatan aktiviti perikanan IUU di rantau ini," katanya.

Demi menjamin kestabilan rantau ini katanya, Malaysia akan terus memberi kerjasama kepada Vietnam menerusi platform dua hala dan serantau sedia ada.

"Ia bagi membantu Vietnam mengambil langkah-langkah yang lebih proaktif dalam memperbaiki tatakelola dan pengurusan maritim, menyelesaikan isu pencerobohan dan aktiviti perikanan IUU," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2024 @ 9:58 AM