Ahli Dewan Undangan Negeri bersidang pada Mesyuarat  Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 di Wisma Darul Iman.  FOTO GHAZALI KORI
Ahli Dewan Undangan Negeri bersidang pada Mesyuarat Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 di Wisma Darul Iman. FOTO GHAZALI KORI
Zatul Iffah Zolkiply dan Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Terengganu menolak Akta Laut Wilayah 2012 yang menghadkan sempadan maritim negeri sehingga tiga batu nautika iaitu 5.5 kilometer dari kawasan pantai.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, penolakan penguatkuasaan Akta Laut Wilayah 2012 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini kerana ia menafikan hak negeri untuk menerokai sumber dan hasil melalui sempadan maritim negeri sekadar tiga batu nautika sahaja dari garis air surut wilayah Terengganu.

Menurutnya, DUN Terengganu meluluskan usul menolak Akta Laut Wilayah 2012 kerana dilihat tidak menepati syarat seperti mana yang ditetapkan di dalam Perkara 2 (b) dan Perkara 38 (4) Perlembagaan Persekutuan.

"Perkara 2 (b) menyatakan bahawa undang-undang yang mengubah sempadan sesuatu negeri tidak boleh diluluskan tanpa persetujuan negeri itu (yang dinyatakan melalui undang-undang yang dibuat oleh Badan Perundangan Negeri itu) dan Majlis Raja-Raja.

"Perkara 38 (4) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa tiada undang-undang yang secara langsung menyentuh keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-Raja boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja.

"Tindakan kerajaan Persekutuan menyatakan negeri hanya berhak terhadap tiga batu nautika sebenarnya telah merampas hak kedaulatan negeri terutamanya yang berkait hasil mahsulnya," katanya.

Terdahulu, persidangan DUN Terengganu ke-15 sebulat suara meluluskan usul menolak Akta Laut Wilayah 2012 kerana dilihat menafikan hak negeri itu untuk menerokai sumber dan hasil melalui sempadan maritim negeri sekadar tiga batu nautika (5.5 kilometer) sahaja dari garis air surut wilayah negeri itu.

Ia selepas usul dikemukakan Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman (PAS- Kota Putera) itu disokong sebulat suara semua 32 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu.

Turut menolak akta sama adalah Kelantan dan Sabah.

Terdahulu, media melaporkan Kelantan dan Terengganu tidak layak menerima hasil petroleum sebanyak lima peratus kerana kedudukan medan pengeluaran adalah terletak di luar tiga batu nautika dari garis air surut wilayah kedua-dua negeri di Pantai Timur itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750) menetapkan setiap negeri mempunyai hak ke atas laut wilayah di pesisir yang berdampingan dengan pantai wilayahnya yang tidak melebihi tiga batu nautika dari garis air surut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2024 @ 7:23 PM