Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari. FOTO Arkib NSTP
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari. FOTO Arkib NSTP
Ruwaida Md Zain

Shah Alam: Dakwaan bahawa Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari meluluskan tanah kepada syarikat sendiri adalah taktik terdesak menjelang pilihan raya.

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad berkata, pihaknya sudah meneliti hantaran di laman Facebook berkaitan laporan polis yang dibuat oleh Badrulhisham Shahrin atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard berhubung dakwaan terhadap Amirudin.

"Dakwaan beliau kononnya disokong dengan dokumen di mana kerajaan negeri Selangor memberikan 100.04 ekar tanah di Dengkil kepada Landasan Lumayan Berjaya Sdn Bhd.

"Pejabat Menteri Besar Selangor terbuka dan sedia untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi membersihkan nama Menteri Besar Selangor berkaitan dakwaan mengkal ini.

"Saya sepenuhnya meyakini bahawa dakwaan ini adalah sejenis episod tuduhan ulang siar yang tidak jauh berbeza dengan episod yang diputar belit sewaktu Pilihan Raya Negeri Selangor ke-15 yang menyaksikan penuduh kini sedang menghadapi tindakan saman daripada Menteri Besar sendiri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Saifuddin berkata, ini adalah cubaan terdesak pihak tertentu menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu.

Malah katanya, pihaknya mengenalpasti beberapa fakta salah dan tersasar melalui hantaran Chegu Bard terdahulu.

"Kami dengan segala hormatnya mengalu-alukan dia untuk menyertai kelompok individu yang akan disaman sebagaimana yang sedang dihadapi oleh seorang kenamaan di negeri utara tanah air pada masa ini berikutan kedangkalan fakta dalam melancar serangan politik murahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2024 @ 8:01 PM