PEMAIN Sabah giat menjalani latihan. FOTO Ihsan Sabah FC
PEMAIN Sabah giat menjalani latihan. FOTO Ihsan Sabah FC
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Perlawanan persahabatan di antara Sabah FC dan Melaka FC yang dijadual berlangsung di Stadium Likas, di sini, pada jam 7.30 malam esok, terpaksa dibatalkan berikutan gangguan operasi penerbangan di ruang udara Sabah.

Pengarah Sabah FC, Mohd Joh Wid berkata perlawanan itu dibatalkan selepas beliau menerima surat makluman daripada Melaka FC mengenai pembatalan jadual penerbangan yang menyebabkan mereka tidak dapat datang ke Sabah.

Katanya, dua penerbangan AirAsia ditempah Melaka FC untuk ke Kota Kinabalu yang sepatutnya berlepas pagi tadi dibatalkan berikutan risiko debu letusan Gunung Ruang di Sulawesi, Indonesia yang menjejaskan operasi penerbangan di ruang udara sekitarnya.

"Berikutan itu, Sabah FC memohon maaf dan mengucapkan terima kasih atas sokongan semua peminat bola sepak yang sudah membeli tiket untuk menyaksikan perlawanan berkenaan.

"Kita berharap agar kejadian letusan Gunung Ruang ini kembali pulih seperti sedia kala dan tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku bagi membolehkan jadual perlawanan persahabatan lain dapat diadakan selepas ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, berikutan pembatalan perlawanan persahabatan itu, Sabah FC akan menawarkan dua pilihan kepada mereka yang sudah membeli tiket untuk menyaksikan perlawanan itu.

Pilihan itu, katanya sama ada pemulangan wang pembelian tiket atau diubah untuk menyaksikan perlawanan Piala Sabah Maju Jaya (SMJ) yang akan diadakan akhir bulan ini.

Mohd Joh berkata, setakat ini belum ada pengumuman rasmi sama ada perlawanan Sabah FC menentang Melaka FC akan dijadualkan semula dalam tempoh terdekat.

"Apa yang pasti tiket bagi perlawanan Sabah FC menentang Melaka FC boleh digunakan untuk menyaksikan beberapa perlawanan pada Piala SMJ nanti.

"Sekali lagi bagi pihak Sabah FC, saya memohon kemaafan atas perkara ini dan berharap agar keadaan kembali beransur pulih dalam tempoh terdekat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2024 @ 6:05 PM