MOHD Najwan (dua dari kiri) membuat tinjauan di PPS SK Merbau Sempak. FOTO Hakimi Suria Kencana
MOHD Najwan (dua dari kiri) membuat tinjauan di PPS SK Merbau Sempak. FOTO Hakimi Suria Kencana
Hakimi Suria Kencana dan Nor Syazrina Muhamad


Petaling Jaya: Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Petaling meningkat sebanyak 334 orang berbanding 320 semalam.

Setakat 8 pagi tadi, data Pusat Kawalan Operasi Pusat, Ibu Pejabat Angkatan Pertahanan Awam (APM) merekodkan seramai 77 keluarga yang terkesan ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Merbau Sempak, Sungai Buloh, di sini, hari ini.

Pengarah APM Selangor, Ghazali Abd Rahman berkata, air masih belum surut menyebabkan kesukaran kepada mangsa untuk pulang ke rumah.

"Kawasan yang terbabit ialah Kampung Kubu Gajah, Paya Jaras dan Merbau Sempak.

"Walaupun kedalaman meningkat hampir satu meter, Alhamdulillah, setakat ini masih belum ada kes-kes yang tidak diingini berlaku.

"Faktor cuaca membuatkan pihak kami masih berjaga-jaga disebabkan keadaan sekarang yang masih hujan," katanya ketika ditemui Harian Metro.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai yang berada di kawasan berisiko dilanda banjir untuk berhati-hati dan peka dengan faktor cuaca.

"Bila sudah tahu keadaan cuaca dan paras air, kami berharap mereka boleh mengambil langkah berjaga-jaga dengan menuju terus ke pusat pemindahan terdekat berhampiran," katanya.

Sementara itu, Exco Belia dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi berkata, beliau bersyukur PPS Merbau Sempak boleh menampung kesemua mangsa banjir di tiga kawasan yang terjejas.

"Kita juga mendapat sokongan banyak pihak seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menempatkan 10 petugas kesihatan untuk membantu mereka yang terjejas.

"PPS ini dibuka dari semalam, sejurus kita dapat laporan air naik dan pemindahan dilakukan dengan kadar segera," katanya.

Beliau juga berharap banjir yang berlaku kali ini agar segera surut walaupun keadaan cuaca yang tidak menentu.

"Kita jangkakan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) petang ini akan berlaku hujan lebat lagi, dan kemungkinan air akan naik.

"Jadi kita akan bersiap-sedia dengan kelengkapan. Cuma yang lebih penting sekarang ini adalah kesihatan mangsa dan saya berharap tiada kemalangan jiwa yang terjadi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2024 @ 3:13 PM