PETIKAN video tular di mana lelaki menunjukkan pistol kepada ejen penarik kenderaan yang gagal menunjukkan dokumen.
PETIKAN video tular di mana lelaki menunjukkan pistol kepada ejen penarik kenderaan yang gagal menunjukkan dokumen.
Raja Noraina Raja Rahim


Kajang: Tidak puas hati terhadap ejen penarik kenderaan yang gagal menunjukkan bukti menyebabkan warga emas mengacukan pistol di Bandar Tun Hussien Onn di sini, Selasa lalu.

Dalam kejadian 10.55 pagi itu, lelaki berusia 60 tahun itu hadir di lokasi selepas kereta yang dipandu anak perempuannya dihalang ejen terbabit.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, polis menerima laporan kejadian daripada ejen penarik kenderaan iaitu lelaki berusia 34 tahun.

Menurutnya, berdasarkan laporan pengadu bersama rakan sekerja bertugas untuk menarik kereta dipandu wanita yang disyaki mempunyai tunggakan bayaran bank di Bandar Tun Hussien Onn.

"Semasa dalam proses untuk menarik kereta berkenaan, datang seorang lelaki bertindak menghalang pengadu dengan alasan pengadu tidak menunjukkan surat bank dan laporan polis berkaitan tunggakan bayaran.

"Pengadu mendakwa lelaki itu juga menafikan kereta dipandu anaknya itu mempunyai tunggakan bayaran dengan pihak bank.

"Oleh itu, berlaku perselisihan faham antara mereka sebelum suspek bertindak mengeluarkan pistol dan memegang senjata itu sambil menghalau pengadu serta rakan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zaid berkata, pengadu dan rakan yang bimbang keselamatan mereka beredar namun sempat merakam tindakan lelaki itu.

Susulan kejadian, katanya, pengadu tampil membuat laporan di Balai Polis Kajang pada hari kejadian.

Beliau berkata, polis turut menerima laporan daripada lelaki yang didakwa mengacukan pistol dan polis merampas senjata terbabit serta merakam keterangannya untuk siasatan lanjut.

"Semakan mendapati suspek mempunyai lesen senjata api yang sah.

"Suspek mendakwa melakukan perbuatan itu kerana bimbang dan curiga ke atas pengadu yang disangka mempunyai niat jahat untuk menarik kereta tetapi gagal membuktikannya melalui dokumen tarik kenderaan," katanya.

Kata beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, tular rakaman video berdurasi 10 saat yang menunjukkan seorang lelaki sedang memegang pistol sebelum sebuah kereta dinaiki pengadu beredar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2024 @ 10:54 AM