Mohideen Abdul Kader
Mohideen Abdul Kader
Oleh Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan supaya menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan pemain industri tembakau dan vape yang didakwa melobi ahli Parlimen (MP) di Parlimen, seperti yang didedahkan baru-baru ini.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, ia jelas mencemarkan kemuliaan Parlimen sebagai tempat yang mana undang-undang digubal demi kepentingan negara.

Katanya, industri tembakau dan vape jelas sudah melanggar Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi Kawalan Tembakau (FCTC).

"Kami ingin tahu kenapa penggubal dasar Malaysia membenarkan industri mempengaruhi hasil Rang Undang-undang Generasi Penamat (GEG) yang dicadangkan itu?

"Malaysia sudah meratifikasi WHO FCTC pada 2005 iaitu hampir dua dekad yang lalu, namun bagaimana ia boleh berlaku di tempat yang mulia di mana undang-undang diluluskan," katanya pada kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohideen berkata, ia adalah hal yang amat memalukan serta tidak sepatutnya diterima dalam apa juga cara.

Katanya, CAP berterima kasih kerana Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni mengakui bahawa pemain industri tembakau dan vape sudah bertemu dengan ahli Parlimen di Parlimen bagi melobi supaya GEG dikecualikan.

"Beliau (Lukanisman) akhirnya mengesahkan kejadian ini yang berlaku sejak Oktober tahun lalu dan pelobi seperti peniaga dadah (nikotin juga memberi ketagihan) dengan melobi ahli Parlimen bagi mengesahkan sesuatu sehingga akhirnya menghancurkan belia serta negara.

"Malangnya, terdapat beberapa penggubal dasar yang terbabit dalam skim besar ini, mengecualikan GEG bagi melayani agenda pelobi yang mahu terus menagih rakyat Malaysia untuk beberapa generasi akan datang supaya mereka mendapat keuntungan daripadanya," katanya lagi.

Menurut Mohideen lagi, memandangkan perkembangan semasa itu, CAP mengulang gesaan supaya kerajaan menubuhkan RCI berkaitan perkara yang mempunyai kepentingan negara.

Katanya, CAP juga ingin mengetahui sejauh mana 'penyusupan' dan 'pengaruh' pelobi terhadap ahli Parlimen dan siapa di sebalik usaha bagi mensabotaj GEG.

"Melainkan menyalahguna proses Parlimen ini dicegah, ia akan membuka pintu kepada kuasa luar termasuk kerajaan asing bagi mempengaruhi kerajaan untuk melaksana agenda mereka.

"CAP juga menggesa Parlimen bagi meminda Akta Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2023 demi mengembalikan semula komponen GEG tanpa sebarang penangguhan," katanya lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mac 2024 @ 10:38 AM