Sebahagian penduduk menyuarakan bantahan terhadap pembinaan sebuah kuil yang dibina berdekatan kawasan perumahan di Taman Koperasi Cuepacs, Batu 12, Kajang. FOTO AIZUDDIN SAAD
Sebahagian penduduk menyuarakan bantahan terhadap pembinaan sebuah kuil yang dibina berdekatan kawasan perumahan di Taman Koperasi Cuepacs, Batu 12, Kajang. FOTO AIZUDDIN SAAD
Mahaizura Abd Malik


Kajang: Lebih 2,000 penduduk di Taman Koperasi Cuepacs Batu 12 dan Jalan Desa Baru di sini, menggesa kerajaan campur tangan supaya sebuah kuil yang didakwa dibangunkan di kawasan berdekatan tanpa mengikut spesifikasi dipindahkan ke lokasi lebih sesuai.

Tinjauan Harian Metro mendapati kuil yang terletak bersebelahan rumah pangsa kos rendah Taman Koperasi Cuepacs dan rumah berkembar Taman Desa Baru itu sudah siap namun pagarnya berkunci.

Malah penduduk mendakwa kuil berkenaan yang dirasmikan seorang wakil rakyat sudah digunakan untuk upacara keagamaan dan keraian sejak tahun lalu lagi.

Penduduk, Mohd A Amin Kamisan, 74, yang menetap di perumahan berdekatan sejak 30 tahun lalu berkata, kewujudan kuil itu menimbulkan rasa kurang senang masyarakat setempat berikutan tidak pernah dibincangkan dan mendapat persetujuan bersama.

"Isu ini berlarutan sejak 2009 dan bantahan sudah dibuat, pernah juga kerja pembinaan dihentikan sementara tetapi akhirnya kuil berjaya disiapkan.

"Kita tekankan, tidak sesuai kuil ini dibina di kawasan terlampau dekat dengan perumahan yang ramai masyarakat Islam apatah lagi ada surau berdekatan kuil ini.

"Malah, sejak kuil ini mula digunakan, ia mengganggu ketenteraman penduduk kerana jalan utama ke pintu kuil perlu menggunakan laluan Jalan Cuepacs 5E dan Jalan Desa Baru 2A sehingga menyebabkan kesesakan.

"Sekarang ini ketika pasar malam, kawasan ini sudah sesak dengan kereta parkir di bahu jalan inikan pula hendak ditambah dengan kenderaan yang hendak ke kuil," katanya ketika ditemui di tapak kuil itu, hari ini.

Katanya, dia juga mempertikaikan pengeluaran notis Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) terhadap kuil itu, namun sehingga kini isu berkenaan tidak selesai, malah kuil sudah siap dibina dan digunakan.

"Kita pelik sampai sekarang MPKj tidak ambil tindakan cuma mengeluarkan notis menghentikan pembinaan sebanyak tiga kali sejak 2014 dan kali terakhir awal tahun ini.

"Adakah notis itu benar atau cuma wayang untuk menyedapkan hati penduduk semata-mata?" katanya.

Sementara itu, wakil Jawatankuasa Bertindak Taman Koperasi Cuepacs Batu 12 dan Jalan Desa Baru, Mohd Shafawi Mat Said berkata, semakan pihaknya bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendapati pembinaan kuil itu tidak mendapat kelulusan MPKj dan pihak berkuasa lain.

Selain kacau ganggu katanya, penduduk menekankan aspek keselamatan berikutan kuil itu dibina tidak mengikut garis panduan ditetapkan dalam pelan pembangunan.

"Kita bantah sebab tidak sesuai kuil dibina di sini kerana dekat dengan tempat pembentungan kawasan perumahan dan berada di bahu jalan yang menyebabkan pertambahan kenderaan terutama ketika kuil digunakan untuk upacara keagamaan, perayaan mahupun perkahwinan.

"Semakan kita yang disahkan MPKj, pembinaan itu tiada pelan infrastruktur, tiada cadangan kemajuan akan datang, tiada kelulusan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), malah tiada nombor warta untuk pembinaan rumah ibadat.

"Kita bimbang, jika berlaku kejadian tidak diingini bukan hanya membahayakan mereka yang datang ke kuil ini, malah berisiko kepada penduduk setempat juga," katanya.

Mohd Shafawi berkata, penduduk membantah pembinaan kuil itu sejak lebih 13 tahun lalu termasuk membawa perkara itu kepada pihak Jabatan Audit Negara, MPKj, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari serta wakil rakyat tempatan, namun isu itu masih tiada kesudahan.

"Kami bukan rasis, malah tak mahu isu ini dipolitikkan cuma mahukan tindakan tegas bagi selesaikan isu ini kerana ia membabitkan kepentingan masyarakat khususnya majoriti 85 peratus penduduk Islam di sini.

"Lagipun, sudah ada kuil kira-kira 300 meter dari perumahan ini, jadi kenapa perlu bina lagi kuil di sini apatah lagi dekat pula dengan surau selain itu, masyarakat India di sini cuma 10 peratus sudah pasti kuil ini juga digunakan orang luar," katanya jawatankuasa itu berjaya mengumpul 2,130 tandatangan penduduk yang membantah pembinaan kuil itu.

Kali ini katanya, penduduk mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Audit Negara masuk campur kerana wujud kepincangan dalam isu pembinaan kuil ini.

"Tanah ini asalnya rizab kerajaan diberikan kepada Tetuan Koperasi Serbaguna Cuepacs pada 2000, tetapi macam mana boleh serahkan kepada Persatuan Pengurusan Kuil Maha Mariamman pada 2009 sedangkan mereka sepatutnya berbincang dengan penduduk terlebih dulu.

"Penduduk mahu perkara ini disiasat secara telus dan jika tidak selesai, kami mahu ikhtiar melalui tindakan perundangan kerana jelas pembinaan kuil ini tidak melalui jalan sah," katanya.

Sementara itu, Pengarah Unit Perancangan Korporat dan Perhubungan Awam MPKj, Kamarul Izlan Sulaiman ketika dihubungi Harian Metro memaklumkan, beliau akan memberikan kenyataan balas mengenai isu itu pada esok.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2024 @ 2:40 PM