PENDUDUK dakwa penutupan jalan di Batu 9, Cheras menyusahkan kegiatan harian.
PENDUDUK dakwa penutupan jalan di Batu 9, Cheras menyusahkan kegiatan harian.
RAZALI menunjukkan kawasan yang sepatutnya jalan dibuka.
RAZALI menunjukkan kawasan yang sepatutnya jalan dibuka.
Nabihah Kamal


Kajang: Sukar ke masjid, malah ada yang terpaksa menukarkan sekolah anak.

Itu antara kesan penutupan jalan di Batu 9, Cheras yang menimbulkan kesulitan kepada lebih 5,000 penduduk di lapan taman perumahan, di sini, sejak setahun lalu.

Wakil Jawatankuasa Bertindak Buka Jalan, Razali Abdul Aziz, 55, berkata, taman perumahan itu adalah Taman Cheras Awana, Taman Cuepacs, Taman Aman Jaya, Taman Bukit Hartamas, Taman Segar Perdana, Taman Cheras Permata, Taman Wangsa Cheras dan Taman Bukit Segar.

“Kami (penduduk) sudah menggunakan jalan itu lebih 10 tahun. Bagaimanapun, sejak setahun lalu Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) tutup laluan ini menyebabkan kami sukar keluar dan masuk di kawasan perumahan sendiri.

“Penduduk di sini pernah cuba menghubungi MPKj untuk berbincang mengenai hal ini, namun tiada tindakan yang dilakukan sehingga kini,” katanya ketika ditemui pada Demonstrasi Buka Jalan di sini, semalam.

Menurut Razali, jalan yang sudah ditutup itu dipenuhi sampah.

“Akibat kawasan jalan ini terbiar, ada individu yang tidak bertanggungjawab membuang perabot.

“Kami sendiri terpaksa bergotong-royong bersihkan kawasan ini bagi mengelakkan pembiakan nyamuk,” katanya.

Penduduk Taman Cheras Awana, Laila Husni, 41, berkata, anaknya terpaksa bertukar tadika kesan penutupan jalan itu.

“Saya gunakan untuk menghantar anak ke tadika, apabila jalan tutup saya terpaksa menggunakan jalan lain yang lebih jauh.

“Bukan itu saja, ibu bapa saya yang sudah umur mahu ke surau di Madrasah Al- Mutaqin pun susah,” katanya.

Penduduk Taman Cuepac, Hasni Jusoh, 60, berkata, jalan itu adalah jalan alternatif yang digunakan penduduk dan perlu dibuka untuk kebaikan bersama.

“Kemudahan sudah ada namun disekat. Mohon MPKj lakukan sesuatu dengan segera demi kemudahan masyarakat di sini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mac 2017 @ 12:04 AM