DR Wan Azizah diiringi Amirudin menyaksikan sesi tandatangan nota kerjasama antara Azalina Othman serta Fadhlina pada Konvensyen Mengenai Perlindungan Murid Daripada Eksploitasi Seksual. FOTO Faiz Anuar
DR Wan Azizah diiringi Amirudin menyaksikan sesi tandatangan nota kerjasama antara Azalina Othman serta Fadhlina pada Konvensyen Mengenai Perlindungan Murid Daripada Eksploitasi Seksual. FOTO Faiz Anuar
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Guru dan pentadbir sekolah boleh dikenakan tindakan sekiranya mengetahui ada murid menjadi mangsa jenayah seksual namun tidak membuat laporan polis.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, perkara berkenaan selaras selaras dengan Seksyen 19 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 [Akta 792].

"Menjadi satu kesalahan jika antara anda (guru, sekolah) tidak melaporkan sedangkan anda mengetahuinya.

"Guru dan sekolah tidak perlu bimbang untuk buat laporan, kita sudah maklumkan undang-undang akan melindungi mereka... laporan itu akan dinilai dan disiasat.

"Jadi kita mahu guru menjadi mata dan telinga kepada murid-murid dalam membantu pihak berkuasa menangani jenayah seksual terhadap murid," katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan Konvensyen Kebangsaan Mengenai Perlindungan Murid Daripada Eksploitasi Seksual di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SUK), di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan isteri Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Pada masa sama, Azalina mengakui antara cabaran yang menjadi perhatian pihaknya adalah persepsi tidak mahu terbabit dengan isu murid selain bimbang disaman.

"Tetapi membuat laporan polis tidak bermaksud perlu didedahkan secara terbuka kepada umum.

"Guru-guru kena main peranan kerana kita perlu memaklumkan pelakunya ada di luar sana dan undang-undang ada," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mac 2024 @ 3:28 PM