SEORANG maut manakala lima lagi cedera selepas enam motosikal terbabit kemalangan di KM 27.6, Lebuhraya Lekas arah utara, awal pagi hari ini. FOTO ihsan polis
SEORANG maut manakala lima lagi cedera selepas enam motosikal terbabit kemalangan di KM 27.6, Lebuhraya Lekas arah utara, awal pagi hari ini. FOTO ihsan polis
Ahmad Hasbi


Nilai: Seorang maut manakala lima lagi cedera selepas enam motosikal terbabit kemalangan di Kilometer (KM) 27.6, Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) arah utara, dekat sini, awal pagi hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Nilai, Deputi Superintendan Mat Ghani Lateh berkata, kejadian jam 2.30 pagi itu berlaku ketika kumpulan motosikal sedang berkonvoi dari arah Seremban menuju Kajang.

"Ketika tiba di lokasi, sebuah daripada kumpulan motosikal itu dipercayai terbabas dan pada masa yang sama, lima motosikal lain yang berada di belakang dikatakan memperlahankan kenderaan.

"Bagaimanapun, mereka tidak sempat mengelak lalu berlaku perlanggaran sesama mereka," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, akibat kemalangan itu, seorang wanita berumur 22 tahun iaitu penunggang motosikal jenis Yamaha 135LC mengalami kecederaan parah di kepala disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan.

"Manakala lima penunggang lain yang cedera ringan dan dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban untuk mendapatkan rawatan," katanya.

Mat Ghani berkata, kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai, Inspektor Muhammad Hannan Ibrahim di talian 06-7904404," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mac 2024 @ 8:38 PM