PERDANA Menteri ketika berbual dengan Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi. FOTO FB Anwar Ibrahim.
PERDANA Menteri ketika berbual dengan Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi. FOTO FB Anwar Ibrahim.
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Malaysia menambah bantuan kewangan kepada Agensi Bantuan dan Kerja untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) bagi membantu umat Islam di Palestin yang ditindas Israel.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tambahan bantuan juga susulan beberapa negara besar menghentikan sumbangan mereka buat UNRWA, dengan perkara terbabit sudah dimaklumkannya kepada Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi dalam perbualan telefon semalam.

Menurutnya, Malaysia menghargai peranan kerajaan Mesir dalam membantu mempermudahkan urusan penghantaran 100 tan bantuan kemanusiaan Malaysia bernilai AS$1.2 juta (RM5.73 juta) kepada penduduk Gaza.

"Kami berdua senada dalam menzahirkan komitmen berterusan membantu saudara kita di Palestin yang terkesan dalam konflik perang sejak 7 Oktober lalu.

"Dalam perbualan telefon itu, saya juga sempat zahirkan ucapan tahniah atas kemenangan Presiden Sisi dalam pilihan raya Mesir," katanya dalam kenyataan dimuat naik di media sosial, hari ini.

Anwar berkata, sokongan Mesir penting terutama ketika beberapa Ahli Parlimen Malaysia daripada blok kerajaan dan pembangkang sedang dalam perjalanan ke Rafah.

"Delegasi itu bagi menyatakan sokongan buat Mesir dan membantu urusan penghantaran bantuan kemanusiaan dari negara kita ke Gaza.

"Alhamdulillah, Presiden Sisi dan Kerajaan Mesir membantu urusan wakil kita dan semua Ahli Parlimen Malaysia telah diberi kebenaran untuk mengunjungi sempadan Rafah," katanya.

Selain bantuan tahunan, Anwar berkata, Malaysia baru-baru ini menyumbang tambahan AS$2.1 juta (RM10 juta) kepada UNRWA, selain AS$250,000 (RM1.19 juta) kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir dan AS$500,000 (RM 2.39 juta) kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin.

Mengakhiri perbualan dengan pemimpin itu, beliau berkata, kedua-dua kerajaan komited untuk terus memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Mesir, yang bukan saja terkait isu Palestin, bahkan merangkumi soal perdagangan dan ekonomi.

"Saya juga menjemput Presiden Sisi untuk berkunjung ke Malaysia," katanya.

Semalam, Kementerian Luar memaklumkan, delegasi disertai lima Ahli Parlimen itu diketuai Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin itu dalam lawatan khas ke Mesir bermula Rabu lalu hingga esok untuk mempamerkan sokongan penuh Malaysia terhadap isu Palestin.

Wakil rakyat terbabit ialah Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh (PKR); Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman (Pas) dan Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy (Umno) selain Senator Datuk Wira Dr Mohd Hattta Ramli daripada Parti Amanah Negara (Amanah).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Februari 2024 @ 1:08 PM