Bapa saudara seorang kanak-kanak lelaki yang dibunuh didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya. FOTO ASWADI ALIAS
Bapa saudara seorang kanak-kanak lelaki yang dibunuh didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya. FOTO ASWADI ALIAS
Suraya Roslan


Petaling Jaya: Pemandu lori didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini kerana membunuh anak saudara berusia 18 bulan, dua minggu lalu.

Tertuduh M Kesigan, 28, hanya mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Farah Azura Mohd Saad.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh berikutan kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa membunuh bayi lelaki itu di sebuah blok di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Putra Damai, Lembah Subang, di sini, pada 11.15 malam, 24 Januari lalu.

Pendakwaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Timbalan Pendakwa Raya Noor Khairun Nisa Noor Harun tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh yang tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 3 April ini untuk sebutan semula kes bagi serahan laporan kimia dan bedah siasat.

Sebelum ini, media melaporkan mangsa maut dipercayai didera suami isteri yang juga ibu bapa saudaranya.

Mangsa dikatakan tidak sedarkan diri di kediaman terbabit sebelum dibawa ke Hospital Shah Alam oleh bapa saudaranya.

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia ketika rawatan dan hasil pemeriksaan serta bedah siasat mendapati bayi itu mengalami pecah dan kecederaan beberapa organ dalam dipercayai akibat didera.

Difahamkan, mangsa terbabit dihantar ke rumah suspek setiap kali ibu bapanya ke tempat kerja dan dijaga oleh pasangan suami isteri itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2024 @ 1:04 PM