Empat ekor gajah dikenalpasti termasuk ke dalam kawasan penempatan penduduk di sekitar daerah Kluang Johor bakal dipindahkan dalam masa terdekat. Foto tular
Empat ekor gajah dikenalpasti termasuk ke dalam kawasan penempatan penduduk di sekitar daerah Kluang Johor bakal dipindahkan dalam masa terdekat. Foto tular
Oleh Mohamad Fahd Rahmat


Kluang: Empat ekor gajah yang dikenal pasti termasuk ke kawasan penempatan penduduk di sekitar daerah ini bakal dipindahkan dalam masa terdekat.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor Aminuddin Jamin berkata, kumpulan serpihan gajah itu dipercayai memasuki Kampung Melayu Mardi, Taman Seri Impian dan Taman Desa Sejahtera, sejak seminggu lalu.

Katanya, kumpulan itu tercicir daripada kumpulan besar yang dilaporkan berada di sekitar Kampung Sri Cahaya, di siniy, pagi tadi.

"Kakitangan Perhilitan sudah melakukan rondaan berterusan dan halau. Kita sedang analisa lokasi sesuai dan akan pindahkan gajah terbabit.

"Manakala kumpulan besar yang dilaporkan berada di Kampung Sri Cahaya pagi ini, memang berada di laluan haiwan itu.

"Untuk itu, kami akan lakukan tindakan tembak untuk halau kawanan gajah itu ke kawasan hutan berhampiran," katanya dihubungi.

Dalam pada itu, sejak seminggu lalu, kawasan perumahan berkenaan dikejutkan dengan kehadiran serpihan kumpulan gajah terbabit sehingga merisaukan penduduk.

Menurut Mohd Khairudin Othman, 37, penduduk Kampung Melayu Mardi, penduduk terpaksa mengambil inisiatif membakar tayar dan mercun bagi menghalau haiwan itu.

"Saya berpendapat, punca gajah ini terpisah ialah kerana migrasi mereka sudah tidak teratur.

"Kebetulan di Kahang Barat, ada penanaman semula kelapa sawit dan boleh jadi, kawasan haiwan itu terancam dan mereka berpecah kerana tidak selesa sehingga termasuk ke kampung kami," katanya.

Menurutnya, pada mulanya, kumpulan serpihan gajah itu masuk ke pejabat kerajaan sebelum mula merosakkan tanaman.

"Biasanya, gajah ini keluar seawal jam 7 hingga 8 pagi dan sekitar jam 7 malam bagi mencari makanan.

"Kakitangan Perhilitan ada melakukan tinjauan dan melepaskan tembakan ke udara untuk menghalau gajah ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Februari 2024 @ 4:33 PM