- Foto hiasan
- Foto hiasan
Yun Mikail


Kota Kinabalu: Lelaki Islam yang menggoda isteri orang di Sabah boleh didakwa di bawah undang-undang syariah negeri berkenaan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah merangkap Exco Hal Ehwal Agama Islam Sabah Datuk Mohd Arifin Arif berkata, perkara terbabit terpakai sejak sekian lama membabitkan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Sabah 1995.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan setakat ini tiada kes lelaki Islam menggoda isteri orang dilaporkan berlaku di Sabah.

"Terdapat peruntukan undang-undang yang mengawal perbuatan gangguan orang ketiga terhadap rumah tangga di dalam Islam termasuklah seksyen 36, seksyen 37 dan seksyen 38 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan.

"Berdasarkan kepada peruntukan undang-undang di negeri-negeri, kesalahan mengganggu rumah tangga orang terbahagi kepada tiga komponen iaitu memujuk lari perempuan bersuami, menghalang pasangan suami isteri untuk hidup bersama serta menghasut suami atau isteri supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan.

"Namun ketiga-tiga peruntukan yang terdapat dalam Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan ini tidak diperuntukkan dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Sabah 1995.

"Kesemua kesalahan terbabit di Sabah dirangkumkan dalam satu seksyen ini sahaja.

"Menerusi enakmen ini, sudah dinyatakan sesiapa yang melarikan atau menyebabkan seseorang isteri orang lain meninggalkan rumah tangga yang ditentukan oleh suaminya adalah bersalah atas suatu kesalahan dan apabila disabitkan, lelaki Islam berkenaan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 January 2024 @ 7:02 AM