Amir Abd Hamid


Gombak: Buntu menyelesaikan kemelut tidak berkesudahan berkaitan permohonan tanah bergeran menyebabkan Persatuan Penduduk Kampung Desa Mukmin Warisan, di sini, bercadang menemui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusinya, Mohd Najib Mokhtar, 69, berkata, pihaknya bercadang menemui Perdana Menteri dalam waktu terdekat.

Sebelum ini pada 2020, katanya, persatuan itu sudah ke Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang menempatkan Pejabat Perdana Menteri dan menghantar surat sokongan permohonan tanah secara berkelompok kepada Perdana Menteri ketika itu Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Surat kepada Perdana Menteri sebelum ini (Muhyiddin) sudah diterima dengan cop akuan penerimaan surat. Namun penyelesaiannya kemungkinan tertangguh dengan kemelut politik waktu itu.

"Tanah yang kami duduki ini sememangnya diakui adalah milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan yang diterokai sejak 1982 dan penduduk yang tinggal sekarang adalah generasi keempat.

"Kami berharap Malaysia Madani yang dipimpin Perdana Menteri ketika ini di bawah Kerajaan Perpaduan dapat membantu," katanya ketika ditemui di kampung berkenaan.

Beliau mendakwa sebelum ini terdapat ura-ura kampung itu terbabit dengan laluan bagi kerja pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Namun, katanya, ketika Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari hadir di Sungai Chinchin di sini, pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu, pemimpin itu sudah memberikan jaminan kampung itu tidak terbabit dalam laluan ECRL.

"Segala kemudahan asas di dalam penempatan Kampung Desa Mukmin Warisan Batu 7 Gombak ini sudah pun ada. Ia termasuk jalan utama, bekalan tenaga elektrik dan air, keselamatan paip bomba, sistem perparitan longkang serta surau dan dewan untuk kegunaan penduduk.

"Justeru penduduk yang membabitkan 200 rumah memohon belas ihsan kerajaan untuk berikan geran supaya kehidupan kami lebih rasa tenteram dan selamat," katanya.

Beliau menjelaskan keluasan keseluruhan kampung berkenaan adalah 7.69 hektar.

Sementara itu, Pegawai Daerah Pejabat Daerah dan Tanah Gombak, Nor Azlina Abdul Aziz yang dihubungi Harian Metro berkata, pihaknya akan membuat semakan mengenainya ketika diajukan soalan berkenaan masalah penduduk itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mac 2023 @ 3:16 PM
MOHD Najib menunjukkan surat permohonan geran kepada Muhyiddin sebelum ini berkaitan kemelut permohonan geran tanah kerajaan di Desa Mukmin Warisan, Gombak. FOTO Hazreen Mohamad
MOHD Najib menunjukkan surat permohonan geran kepada Muhyiddin sebelum ini berkaitan kemelut permohonan geran tanah kerajaan di Desa Mukmin Warisan, Gombak. FOTO Hazreen Mohamad