Amir Abd Hamid


Gombak: Penduduk di 13 kampung dan penempatan di Gombak Utara bakal memfailkan injuksi mahkamah bagi menghalang pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Sungai Chinchin.

Jajaran itu menjejaskan Desa Mukmin Warisan, Desa Mukmin Permai, Batu 7 Gombak, Sungai Chinchin, Taman Rawiyah Sulaiman Jaya, Batu 8 Gombak Utara, Taman Permai Jaya, Sungai Salak, Desa Makmur, Batu 11 Gombak, Batu 12 Gombak, Kampung Sungai Rumput dan Kem Alang Sedayu.

Pengerusi Gerakan Pembela Ummah, Mohd Zai Mustafa berkata, pihaknya akan mendapatkan seramai mungkin tanda tangan penduduk, wakil penduduk serta badan bukan kerajaan (NGO), pakar sejarah dan ahli akademik bagi menyokong injuksi mahkamah berkenaan.

"Penduduk sepakat tidak mahu laluan ECRL berkenaan melalui kawasan Gombak Utara kerana kawasan itu padat penduduk dan tidak boleh dipindahkan sewenang-wenangnya.

"Apa yang menjadi persoalan ialah selain terdapat tanah rizab Orang Asli, kawasan ini juga mempunyai tanah wakaf seluas 13 ekar (5.26091 hektar) yang sudah dijadikan penempatan selama 134 tahun.

" Tanah wakaf ini telah mendapat kelulusan pengecualian cukai yang dibuat oleh Sultan Selangor terdahulu dan bagi kami ini satu pengiktirafan, dan isu tanah wakaf ini hanya boleh dicabar di mahkamah syariah dan isu ini juga kita akan bawa dalam injuksi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media 'Selamatkan tanah warisan Melayu Islam Gombak Utara daripada jajaran ECRL KL - Node Highway, di dataran Masjid Sungai Chinchin, di sini, semalam.

Setakat ini, katanya, sebanyak 151 rumah termasuk 30 rumah Orang Asli telah dirobohkan dengan ratusan lagi rumah menanti untuk dirobohkan

"Apa yang kami tahu setakat ini, yang tiada geran akan dapat hadiah saguhati manakala yang ada geran akan dapat pampasan tapi ramai pemilik tak setuju," katanya.

Beliau berkata, ini bukan isu politik tetapi mana-mana kerajaan terbabit dalam projek mesti ambil tindakan jelas bahawa mereka mesti membuat satu laluan yang sesuai tanpa melibatkan penempatan penduduk.

"Saya rasa perlu ada jawatankuasa khas untuk menilai semua ini sebelum sesuatu jajaran diambil, bukan lihat dari sudut ekonomi semata-mata sebab melibatkan tanah dan rizab Melayu yang banyak.

"Mana-mana kerajaan mentadbir mesti dengan jelas pertahan hak istimewa penduduk di sini," katanya

Mohd Zai berkata, banyak lagi institusi seperti sekolah, masjid, hospital serta berkaitan dengan komuniti masyarakat akan terjejas sekiranya projek berkenaan dilaksanakan.

Sebelum ini media melaporkan beberapa struktur termasuk rumah, bengkel dan tabika Kemas dirobohkan bagi memberi laluan kepada projek ECRL.

Sebahagian daripada penduduk ketika bantahan penduduk berkaitan isu pengambilan tanah untuk projek ECRL, di Masjid Sungai Chinchin. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Sebahagian daripada penduduk ketika bantahan penduduk berkaitan isu pengambilan tanah untuk projek ECRL, di Masjid Sungai Chinchin. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Februari 2024 @ 3:58 PM