FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
BERNAMA

Ipoh: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan mengeluarkan kompaun RM1,000 tanpa sebarang rayuan kepada pembuang sampah haram di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974, kata Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin.

Beliau berkata, warga Ipoh yang gemar membuang sampah haram sesuka hati di bandar raya ini akan dikenakan tindakan oleh MBI.

Katanya, MBI mengecam tindakan segelintir warga kota Ipoh yang gemar membuang sampah haram sesuka hati yang disifatkan tidak memiliki perasaan sayang dan prihatin terhadap bandar raya berkenaan.

Menurutnya, tindakan tidak bertanggungjawab itu mencalarkan imej warga Ipoh, sekali gus menggagalkan usaha MBI memupuk budaya 'Ipoh Bestari Sejahtera' yang menjadi slogan pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit.

"Ia (kompaun tanpa sebarang rayuan selain masyarakat berperanan menjaga moral dan sivik) adalah sejajar dengan usaha berterusan MBI untuk mencapai hasrat menjadikan Ipoh bandar raya terbersih di Malaysia serta pihak berkuasa tempatan terbaik di Malaysia," katanya pada kenyataan, hari ini.

Rumaizi berkata, daripada 1 Januari hingga 31 Disember 2023, MBI sudah membersihkan 120 lokasi longgokan sampah haram sebanyak 5,073 kali dan mengeluarkan 1,214 tawaran kompaun berjumlah RM498,750.

MBI turut menjalankan 49 aktiviti gotong-royong serta memasang 1,485 papan tanda kecil dan 185 papan tanda besar 'Dilarang Membuang Sampah' di sekitar Bandaraya Ipoh.

"Tanggungjawab ini bukanlah terletak di bawah MBI semata-mata tetapi memerlukan pembabitan semua pihak. Tindakan mengkompaun adalah tindakan terakhir selepas tindakan lain tidak diendahkan oleh warga Ipoh," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, 90 peratus daripada 470 lokasi pembuangan sampah haram berjaya dibersihkan MBI daripada 1 Januari hingga 31 Disember 2023 dalam merealisasikan matlamat PBT itu untuk menjadikan Ipoh bandar raya terbersih.

Katanya, MBI turut mengadakan program pengedaran tong sampah secara percuma kepada penduduk Bandaraya Ipoh dengan sehingga Disember lalu, 84,547 unit tong diedarkan setiap hujung minggu mengikut giliran zon Ahli Majlis MBI sejak program itu mula diperkenalkan pada 2021.-Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 January 2024 @ 2:12 PM