Ketua Penerangan WARISAN, Datuk Mohd Azis Jamman. FOTO Ihsan WARISAN
Ketua Penerangan WARISAN, Datuk Mohd Azis Jamman. FOTO Ihsan WARISAN
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Pengerusi Gerakan Kuasa Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar berdepan tindakan saman RM100 juta kerana memfitnah Parti Warisan (WARISAN) Sepanggar menerima dana daripada kartel dadah.

Ketua Penerangan WARISAN, Datuk Mohd Azis Jamman, berkata pihaknya akan mengemukakan surat tuntutan (Letter of Demand) terhadap Zulkarnain berhubung dakwaan fitnah itu.

Menurutnya, tuduhan dibuat Zulkarnain menerusi sidang media Khamis lalu adalah serius dan cubaan menjatuhkan reputasi parti dan kepemimpinannya.

"Saya dan peguam akan menghantar surat tuntutan bagi menuntut dia menarik balik kenyataannya dan memohon maaf.

"Kami melihat serius tuduhan yang dibuat dan tindakan ini diambil untuk menjaga reputasi WARISAN Sepanggar.

"Surat tuntutan akan dikeluarkan sebagai langkah pertama dalam proses undang-undang dan meminta dia membuktikan tuduhannya dalam tempoh tujuh hari.

"Jika beliau gagal membuktikan dan memohon maaf secara terbuka dalam tempoh itu, proses saman akan diteruskan.

"Saya akan saman dia sebanyak RM100 juta kerana fitnah dan tuduhan itu," katanya, di sini, hari ini.

Mohd Azis yang juga Ketua Bahagian WARISAN Sepanggar, berkata sebagai pemimpin WARISAN Sepanggar, beliau komited untuk membuktikan bahawa tuduhan Zulkarnain tidak benar melalui proses undang-undang yang sewajarnya.

"Menyebarkan maklumat yang tidak sahih adalah satu kesalahan, apa lagi membuat laporan polis dan mengadakan sidang media berdasarkan kenyataan yang diambil daripada maklumat yang dia (Zulkarnain) tidak periksa kesahihan dan kebenaran.

"Ia satu tindakan bodoh yang sebenarnya hanyalah 'politically motivated', ingin menjatuhkan reputasi WARISAN dan cuba mengalihkan isu kemarahan rakyat terhadap kegagalan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mentadbir Sabah.

"Kita nantikan kejantanan beliau dalam membuktikan tuduhannya," katanya.

Khamis lalu, Zulkarnain dilaporkan mendakwa menerima maklumat daripada pemberi maklumat tidak dikenali bahawa WARISAN Sepanggar menerima dana politik daripada kartel dadah dari Sabah yang ditahan polis Bukit Aman, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 January 2024 @ 10:01 PM