Pengusaha bot penambang, Lee Lam Seng, 62 atau dikenali sebagai 'Ah Seng' membawa penumpang berulang-alik dari Jeti Pokok Asam di pekan Teluk Intan ke Jeti Kampung Cina, Seberang Perak dengan jarak sekitar 600 meter di Sungai Perak sejak 1970. FOTO BERNAMA
Pengusaha bot penambang, Lee Lam Seng, 62 atau dikenali sebagai 'Ah Seng' membawa penumpang berulang-alik dari Jeti Pokok Asam di pekan Teluk Intan ke Jeti Kampung Cina, Seberang Perak dengan jarak sekitar 600 meter di Sungai Perak sejak 1970. FOTO BERNAMA

Teluk Intan: Setiap hari bermula seawal jam 7 pagi hingga 7 malam, kelibat bot penambang milik Lee Lam Seng, 62, berulang-alik mengambil penumpang dari Jeti Pokok Asam di pekan Teluk Intan ke Jeti Kampung Cina, Seberang Perak yang berjarak sekitar 600 meter di Sungai Perak.

Biarpun hanya satu-satunya pengusaha bot penambang yang masih beroperasi di jeti berkenaan dan sepanjang pesisir Sungai Perak, anak jati Teluk Intan itu yang mesra disapa Ah Seng tetap mengerah kudrat demi kelangsungan hidup sekeluarga.

"Sejak usia sembilan tahun lagi, saya membantu mendiang bapa melakukan kerja ini (pengusaha bot penambang). Apabila bapa meninggal, saya teruskan (kerja) kerana ini satu-satunya kerja saya mahir.

"Saya tak pernah jemu atau mahu berhenti melakukan kerja ini. Selagi sihat, saya bekerja kerana ini sumber pencarian saya meneruskan hidup," katanya ketika ditemui di Jeti Pokok Asam di sini.

Ah Seng berkata, pada era 60-an hingga awal 90-an, ramai individu mengusahakan perkhidmatan bot penambang di Jeti Pokok Asam kerana pada waktu itu ramai penduduk di Teluk Intan mahupun Seberang Perak menggunakan bot penambang untuk urusan kerja atau mencari barang keperluan harian.

"Namun, apabila zaman berubah dan pada masa sama ramai mampu memiliki kenderaan terutama kereta, maka permintaan terhadap perkhidmatan ini semakin berkurangan dan banyak pengusaha gulung tikar serta beralih kepada perniagaan lain," katanya.

Menurut Ah Seng faktor lain menyebabkan perkhidmatan bot berkenaan semakin dilupakan ialah kerana kewujudan jambatan Sultan Yusof di Jalan Sitiawan-Teluk Intan serta jambatan menghubungkan laluan Kampung Gajah ke Teluk Intan.

"Bagaimanapun, masih ada dalam kalangan penduduk menggunakan perkhidmatan bot penambang kerana lebih menjimatkan masa berbanding jika menggunakan laluan darat yang melalui kedua-dua jambatan itu," katanya.

Bapa dua cahaya mata itu menjelaskan, selain membawa penumpang, bot berusia lebih empat dekad itu juga menawarkan perkhidmatan sama terhadap kenderaan ringan seperti motosikal.

Setiap penumpang, dikenakan caj 70 sen manakala RM1 jika membawa basikal atau motosikal bagi perjalanan sehala.

"Kapasiti maksimum bagi bot ini ialah 15 penumpang dan 10 motosikal. Dalam sehari, saya mampu menjana pendapatan sekitar RM100 hingga RM250 bergantung keadaan," katanya menambah mampu memperoleh lebih pendapatan pada hujung minggu.

Seorang penumpang Suhaimi Asnahar, 48, dari Felcra Changkat Lada berkata, dia kerap menggunakan perkhimatan bot penambang kerana ia lebih menjimatkan masa dan wang.

"Kalau ikut jalan darat dari kediaman saya di Felcra Changkat Lada ke Teluk Intan mengambil masa lebih satu jam dengan jarak 60 kilometer (km).

"Kalau naik bot (penambang), ambil masa sekitar 30 minit untuk sampai ke Teluk Intan. Tambang pun murah iaitu RM1 sahaja bagi perjalanan sehala," katanya.

T Moorthy, 50, berpandangan mana-mana agensi kerajaan perlu membantu Ah Seng dalam mengekalkan perkhidmatan bot penambang itu, sekali gus menjadikannya sebagai satu daripada produk pelancongan di bandar ini.

"Bot ini unik dan kalau boleh ada pihak khususnya agensi pelancongan melihat perkara ini untuk tindakan lanjut.

"Ia perlu dikekalkan kerana selain menjadi perkhidmatan sampingan untuk penduduk di Teluk Intan dan Seberang Perak, ia boleh dipromosikan sebagai daya tarikan pelancongan selain Menara Condong dan Pulau Bangau," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Disember 2023 @ 8:00 AM