Suharmin Yusuf


Kuala Lumpur: Tujuh individu warga tempatan berusia antara 18 hingga 30 tahun disyaki terbabit sebagai pegawai khidmat pelanggan aktiviti judi dalam talian ditahan pada 6 Disember lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, serbuan terbabit dilakukan berdasarkan maklumat risikan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman.

"Serbuan dilaksanakan oleh JSJK bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang di sebuah premis di Seri Kembangan Selangor.

"Hasil serbuan, tujuh individu warga tempatan ditahan membabitkan seorang daripadanya selaku penyelia dan enam individu lain berperanan selaku pegawai khidmat pelanggan.

"Laman sesawang https://ovtab99.com diguna oleh sindiket ini untuk mempromosikan aktiviti perjudian dalam talian," katanya ketika sidang media, di sini, hari ini.

RAMLI menunjukkan barangan yang dirampas. FOTO Rohanis Shukri
RAMLI menunjukkan barangan yang dirampas. FOTO Rohanis Shukri

Menurutnya, semua suspek dan barang rampasan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ).

"Siasatan awal mendapati sindiket ini menjalankan aktiviti perjudian dalam talian dengan menyasarkan rakyat Singapura sebagai mangsa.

"Antara barang rampasan adalah tujuh set komputer, satu router, kunci rumah, sembilan kad ATM, enam sim kad dan 25 telefon bimbit," katanya.

Ramli berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Disember 2023 @ 4:01 PM