CHUA Jui Meng. FOTO Bernama
CHUA Jui Meng. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Upacara penghormatan terakhir mendiang Datuk Dr Chua Jui Meng akan diadakan selama dua hari bermula esok di Full Gospel Assembly di sini.

Anak lelaki bekas Menteri Kesihatan itu, Vernon Chua, 43, ketika dihubungi Bernama berkata, orang ramai boleh melawat dan memberi penghormatan terakhir pada hari berkenaan bermula 3 petang hingga 7 malam.

"Bapa saya akan disemadikan di Nirvana Memorial Park di Shah Alam pada Khamis, 7 Disember ini, kira-kira 10 pagi," katanya.

Vernon berkata, upacara persemadian di Nirvana Memorial Park hanya membabitkan ahli keluarga.

Anak bongsu kepada tokoh politik itu menyifatkan bapanya seorang yang sangat penyanyang dan bertanggungjawab terhadap keluarganya serta apa-apa kerja diusahakannya dan pemergiannya menjadi suatu kehilangan besar buat seluruh ahli keluarga.

Chua, 80, meninggal dunia di Hospital Serdang pada 4.04 petang semalam.

Anak jati Muar, Johor itu antara menteri kabinet paling lama menerajui Kementerian Kesihatan, selama sembilan tahun dari 1995 hingga 2004.

Berita berkaitan:

'Keluarga saya terhutang budi ' - Wee Ka Siong

Chua Jui Meng banyak tabur bakti kepada negara - PM Anwar

Bekas Menteri Kesihatan Chua Jui Meng meninggal dunia

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2023 @ 6:07 PM